4 Beranak Selamat di Tuaran

Rumah yang didiami keluarga berkenaan yang menggelosor semalam

TUARAN: Empat beranak terselamat selepas sempat menyelamatkan diri apabila rumah didiami mereka menggelongsor susulan tanah runtuh di Jalan Longkou Lama, Kiulu, dekat sini.

Kejadian pada kira-kira jam 7.30 malam tadi berlaku selepas hujan lebat ketika Roddy Selidin,27, bersama isteri dan dua anaknya berusia satu dan lima tahun baru selesai makan malam.

Runtuhan tanah dipercayai disebabkan mendapan berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu mengakibatkan rumahnya menggelongsor beberapa meter daripada tapak asal, selain motosikal miliknya turut tertimbus.

Roddy yang bekerja di sebuah syarikat di Telipok, pinggir Kota Kinabalu, berkata kejadian disedari isterinya ketika hendak memberi makan kucing peliharaan di depan rumah.

“Sebaik membuka pintu, isteri terkejut apabila melihat tiada tanah di hadapan rumah kami dan dia kemudian menjerit ‘lari tanah runtuh’.

“Saya segera mengambil dua anak dan lari ke jalan raya. Tidak lama kemudian saya lihat rumah kami menggelongsor ke bawah perlahan-lahan.

“Kami sebenarnya tak sedar berlaku tanah runtuh sehinggalah isteri membuka pintu kerana tiada merasai gegaran. Apa pun kami bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian sebentar tadi.

Roddy berkata, buat sementara waktu ini mereka sekeluarga terpaksa menumpang di rumah keluarga mentuanya tidak jauh dari rumahnya.

“Buat masa sekarang, bomba tidak benarkan kami masuk ke dalam rumah walaupun untuk mengambil barang kerana bimbang berlaku lagi pergerakan tanah yang boleh membahayakan keselamatan.

“Saya berharap ada pihak tampil membantu meringankan beban saya dan keluarga selepas ditimpa musibah ini,” katanya.

Hujan lebat sejak beberapa hari lalu turut menyebabkan laluan menghubungkan Kampung Longkou di ke Pekan Telipok terputus berikutan tanah runtuh.

Loading...
Back to top