Liga Futsal Sabah buka penyertaan

KOTA KINABALU: Pusingan awal Liga Futsal Sabah musim ini akan berlangsung di sini pada 11-12 November manakala pusingan akhir pada 2-3 Disember.

Kejohanan anjuran Jawatankuasa Futsal Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) itu melibatkan saingan divisyen satu dan divisyen dua lelaki dan wanita.

Saingan divisyen satu lelaki terdiri daripada lapan pasukan terbaik manakala divisyen satu wanita terdiri daripada enam pasukan liga musim lalu (2016).

Saingan untuk divisyen dua pula dibuka kepada pasukan atau kelab negeri ini dan hanya dikenakan yuran penyertaan RM100.

Pengerusi Jawatankuasa Futsal Safa Yamani Hafez Musa dalam kenyataan khamis berkata kelayakan pemain musim ini lebih terbuka dengan harapan kejohanan itu akan lebih kompetitif.

Menurutnya pendaftaran pemain kali ini lebih terbuka di mana tiada jumlah dihadkan untuk pemain negeri atau bekas pemain negeri dalam sesebuah pasukan.

Pusingan awal akan menentukan lapan pasukan lapan pasukan lelaki dan enam pasukan wanita mara ke pusingan akhir.

Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan hampir RM20,000.

Hafez berkata, liga itu adalah medan bagi mengenalpasti pemain yang boleh diserapkan membawa cabaran Sabah ke Liga Futsal Kebangsaan.

Menurutnya Sabah akan mengharungi pusingan kelayakan Liga Futsal Kebangsaan 2018 pada Disember 2017.

“Saya harap kita dapat membentuk pasukan terbaik agar dapat melepasi pusingan kelayakan seterusnya beraksi pada Liga Futsal Kebangsaan 2018,” kata Hafez.

Untuk keterangan lanjut atau urusan pendaftaran pasukan berminat diminta menghubungi urusetia Syazana Jamil (014-350 7170) atau setiausaha kejohanan yang juga setiausaha jawatankuasa Futsal Azman Soaibah (016-820 7479).

Tarikh tutup penyertaan adalah 7 November 2017. UTUSAN BORNEO

Loading...
Back to top