Mahkamah benarkan reman Yusof Apdal disambung

DATUK Mohd Yusof Apdal (tengah) diiring pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika tiba di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu. – Foto Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini membenarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal, disambung reman dua hari lagi hingga Isnin ini selepas direman empat hari sejak Rabu lalu berhubung siasatan penyelewengan dana awam di Sabah.

Perintah dikeluarkan Majistret Cindy Mc Juce Balitus.

Mohd Yusof, 57, yang juga adik kepada Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini, pada kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Beliau dibawa masuk ke Mahkamah Majistret pada jam 12.25 tengah hari dan keluar kira-kira sejam kemudian.

Dua peguam mewakilinya, iaitu Edward Paul dan Peter Lee manakala SPRM diwakili Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faliq Basiruddin dan Timbalan Pendakwa Raya, Rustam Sanip.

Mohd Yusof ditahan pada kira-kira jam 10 malam, Selasa lalu di pejabat SPRM Sabah, di sini selepas hadir bagi membantu siasatan SPRM berhubung penyelewengan RM1.5 bilion dana awam untuk pembangunan luar bandar menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah antara tahun 2009 hingga 2015.

Semalam, Mohd Shafie yang juga abang Mohd Yusof dan Ahli Parlimen Semporna ditahan reman empat hari hingga Isnin ini, manakala seorang jurutera yang juga Setiausaha Warisan Putatan berumur 47 tahun direman enam hari hingga Rabu ini.

Setakat ini, 11 individu ditahan berkaitan kes itu, masing-masing 10 di Sabah dan seorang di Putrajaya termasuk seorang lagi adik Mohd Shafie, iaitu Hamid Apdal dan menantunya yang juga ahli perniagaan berumur 33 tahun.

Sebelum ini, SPRM menahan Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony; dan Ketua Wira parti itu, Datuk Mohd Azis Jamman; Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar; Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim dan ahli perniagaan berumur 52 tahun.

Mereka bagaimanapun sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Loading...
Back to top