Mangsa Banjir Kota Belud Meningkat 1,729 Orang

MANGSA banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara menggunakan lori agensi keselamatan.

Sebanyak 24 kampung di Kota Belud terjejas banjir manakala lapan jalan raya masih tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan kerana ditenggelami air.

Keadaan tersebut menjadikan bilangan mangsa banjir di enam pusat pemindahan banjir di Kota Belud setakat 7.45 pagi ini meningkat kepada 1,729 orang berbanding 1,503 malam tadi.

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, seramai 272 mangsa ditempatkan di Dewan Masyarakat Tun Said, Dewan SMK Agama Tun Said (332), SMK Taun Gusi 1 (365), Dewan Muhibah Tombol (232), SMK Taun Gusi 2 (492) dan Dewan Gopok Taginambur 36 mangsa.

Terdapat mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan SMK Arshad namun jumlahnya masih belum diperolehi.

“Pemantauan situasi banjir diteruskan dan dari masa ke semasa oleh pasukan bertugas yang sentiasa bersedia untuk membuat pemindahan mangsa sekiranya diperlukan,” kata jabatan itu.

Sementara itu, menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), di Penampang, seramai 30 mangsa daripada lapan buah keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan Lembaga Sukan Penampang berikutan tanah runtuh di Kampung Kolam Damai Minintod.

“Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.50 pagi tadi dan proses pemindahan mangsa dilakukan segera oleh anggota APM dengan bantuan beberapa agensi lain seperti bomba dan sukarelawan,” kata APM dalam kenyataan.

Dalam perkembangan lain, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kundasang, Leftenan Hasdiee Abdullah mengesahkan berlaku dua kejadian tanah runtuh di Kampung Desa Aman dan Kampung Kalangaan Bundu Tuhan, Ranau yang mengakibatkan jalan raya di kawasan itu tertimbus.

Jelasnya, dua pasukan APM Kundasang dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu melancarkan laluan air parit serta kerja pembersihan runtuhan itu.

SEBAHAGIAN Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir Dewan Tun Said, Kota Belud.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan mengeluarkan amaran hujan lebat beserta angin kencang peringkat kuning bagi bahagian pedalaman, pantai barat dan Kudat di negeri ini serta Wilayah Persekutuan Labuan yang dijangka berlanjutan seningga minggu depan.

“Amaran angin kencang barat daya dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Sabah (Kudat) sehingga Sabtu ini.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” kata jabatan itu dalam kenyataan dilaman webnya hari ini.

Loading...
Back to top