Mangsa banjir Kota Belud meningkat lagi

Kawasan Pekan Kota Belud turut dinaiki air akibat hujan yang berterusan sejak beberap hari lalu

KOTA BELUD: Seramai 459 mangsa banjir daripada 169 keluarga kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara di daerah ini, setakat pagi ini.

Mereka ditempatkan di pusat pemindahan di Dewan Tun Said dan Sekolah Menengah Agama Tun Said susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.

Jumlah itu meningkat berbanding 404 mangsa daripada 151 keluarga yang berpindah setakat lewat malam tadi.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Katizah Rahaban, berkata peningkatan jumlah penduduk dipindah itu berikutan hujan dan cuaca tidak menentu sepanjang semalam sehingga banyak kawasan rendah dinaiki air.

Beliau berkata, setakat ini kawasan terjejas membabitkan 20 kampung sekitar daerah ini.

“Antara kampung berkenaan termasuk Kampung Donggoi, Marajah, Gunding, Sadok-Sadok, Sembirai, Lingkodon, Linau dan Lebak Moyoh.

“Selain itu, paras air di beberapa sungai utama seperti Sungai Kadamaian kini berada pada tahap amaran manakala Sungai Tampasak serta Sungai Abai di tahap bahaya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katizah berkata, pihaknya kini meluaskan operasi memindahkan mangsa di beberapa kampung yang terjejas dengan bantuan balai bomba berhampiran menggunakan enam bot penyelamat, tiga lori dan pacuan empat roda.

Beliau juga menasihatkan penduduk kampung yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai supaya segera berpindah jika mendapat arahan pihak berkuasa bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Hujan lebat dan angin kencang di barat dan utara Sabah bermula Selasa lalu dan dijangka berterusan hingga esok adalah disebabkan kesan sampingan taufan Lan yang kini berada di timur Filipina.

Loading...
Back to top