Penyokong Berkumpul Depan Mahkamah

KOTA KINABALU: Kira-kira 100 penyokong, kebanyakannya dari Parti Warisan Sabah (Warisan) berkumpul di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu sejak jam 10 pagi tadi.

Mereka dipercayai menunggu kelibat seorang pemimpin parti itu yang dijadual dibawa bagi mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret, hari ini, selepas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), petang semalam.

Antara yang kelihatan ialah Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking dan Naib Presiden parti itu, Junz Wong.

Dua pemimpin Pemuda UMNO Sabah turut ditahan SPRM semalam.

Dua daripada mereka ditahan di Kota Kinabalu, seorang ditahan di Tawau selepas datang ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan berkaitan siasatan penyelewengan dana awam berjumlah RM1.5 bilion yang disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah.

Minggu lalu, SPRM menahan tiga individu termasuk Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony bagi membantu siasatan kes penyelewengan terbabit.

Tempoh perintah tahanan mereka berakhir hari ini, manakala keputusan sama ada mereka dibebaskan atau disambung reman dijangka diketahui petang ini.

Loading...
Back to top