Perinta reman Peter Anthony Disambung lagi

KOTA KINABALU: Perintah tahanan reman Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Peter Anthony dan seorang ahli perniagaan yang ditahan berhubung kes penyelewengan dana awam di Sabah minggu lalu, masing-masing disambung tiga dan empat hari lagi.

Ia bagi membantu siasatan membabitkan penyelewengan kira-kira RM1.5 bilion dana dari Kerajaan Pusat untuk projek pembangunan luar bandar di Sabah yang disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) antara 2010 hingga 2016.

Perintah lanjutan reman dikeluarkan Majistret Cindy Mc Juce Balitus berikutan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memfailkan sambungan reman, hari ini.

Minggu lalu, SPRM menahan tiga individu dengan dua ditahan di sini termasuk Peter dan ahli perniagaan berumur 52 tahun itu bagi membantu siasatan kes penyelewengan terbabit.

Mereka sebelum ini direman lima hari bermula Jumaat lalu dan berakhir hari ini.

Kedua-duanya dilihat dibawa masuk ke Mahkamah Majistret 1, di sini pada jam 1.58 tengah hari tadi sebelum dibawa keluar pada jam 3 petang.

Peter diwakili peguam Martin Tommy, Loretto J Padua, Cedric Choo, Norazmi Alimat dan Jaikol Situn, manakala peguam Edward Paul mewakili ahli perniagaan terbabit.

SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Rustam Sanip.

Loading...
Back to top