Polis tahan petani di Tongod

TONGOD: Polis menahan seorang petani kerana didakwa merogol anak tirinya sejak lebih tiga tahun lalu di Kampung Tongodon, di sini.

Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari, kelmarin berikutan laporan polis dibuat ibu remaja perempuan terbabit pada jam 11.35 pagi hari yang sama.

Mangsa berusia 14 tahun yang juga anak keempat daripada lima beradik dan tidak bersekolah dipercayai dijadikan hamba seks oleh bapa tirinya sejak 2014 ketika berumur 10 tahun.

Difahamkan, ibu mangsa berkahwin dengan suspek sejak 2008 selepas bercerai dengan bapa kandung mangsa.

Dalam kejadian itu, mangsa mendakwa dirogol dua kali seminggu sejak Januari 2014 hingga September lalu dengan kejadian berlaku di tepi anak sungai Kampung Tongodon yang terletak berhampiran rumah mereka.

Mangsa dikatakan hanya menceritakan kejadian itu kepada ibunya pada awal Oktober ini selepas ibu mangsa membawa kelima-lima anaknya itu pulang ke rumah keluarganya di Kampung Entilibon, di sini kerana bertengkar dengan suspek.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, berkata ibu mangsa membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Entilibon sebaik saja mengetahui kejadian menimpa anaknya dan pemeriksaan perubatan mendapati ada kesan koyakan pada kemaluan mangsa.

“Suspek ditahan pada hari sama di Kampung Tongodon, selepas ibu mangsa membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Loading...
Back to top