Remaja dikhuatiri lemas, kereta dihanyut arus di Keningau

ARUS deras di jambatan di Sungai Liawan, Keningau. – Foto Ihsan Bomba

KENINGAU: Seorang remaja berusia 17 tahun dikhuatiri lemas apabila kereta dipercayai dipandunya terjatuh ke dalam sungai sebelum hanyut lebih 100 meter di Sungai Liawan berhampiran Kampung Dangulad, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, kereta jenis Perodua Kenari dipandu mangsa, Mohd Hazim Zihni Jubik, dikatakan terjatuh ke dalam sungai ketika melintasi jambatan yang ditengelami air akibat hujan lebat sejak semalam.

Difahamkan, kereta terbabit ditemui tersadai di tengah sungai, namun pemandunya tiada dalam kenderaan itu.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Keningau, Jaree Mohamad, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan kenderaan terbabit pada jam 9 pagi.

ANGGOTA bomba memeriksa kereta Perodua Kenari dipercayai dipandu remaja lelaki berusia 17 tahun yang dihanyutkan arus di Sungai Liawan berhampiran Kampung Dangulad, Keningau. – Foto Ihsan Bomba
Katanya, tiga jentera dan 10 anggota dikerah ke untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat dalam jarak 300 meter dari tempat kenderaan ditemui.

“Setakat jam 4 petang ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi diteruskan menuju ke Sungai Pegalan menggunakan bot. Kita turut mencari di kawasan tebing sungai.

“Keadaan air sungai yang deras berikutan hujan lebat sebelum ini menyukarkan sedikit operasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini. – Berita Harian Online

ANGGOTA bomba memeriksa kereta Perodua Kenari dipercayai dipandu remaja lelaki berusia 17 tahun yang dihanyutkan arus di Sungai Liawan berhampiran Kampung Dangulad, Keningau. – Foto Ihsan Bomba
Loading...
Back to top