Rm70 Juta bina Politeknik Kota Belud

KOTA BELUD: Sebuah Politeknik yang mampu menempatkan lebih 1,000 pelajar akan dibina di tapak seluas 12 hektar di Kampung Kesapang, dalam daerah ini.

Projek dianggarkan bernilai RM70 juta itu akan menjadi sebahagian prasarana utama dalam pembangunan pusat bandar kedua Kota Belud pada masa akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata proses pengambilan tanah berjalan lancar dan mendapat kerjasama baik daripada pihak Pejabat Daerah Kota Belud.

“Pembinaan Politeknik ini adalah sebahagian usaha kerajaan untuk menyediakan kemudahan pendidikan lebih baik buat anak Kota Belud. Sebelum ini daerah berhampiran seperti Kota Marudu dan Kudat sudah mempunyai institusi pengajian tinggi awam (IPTA), namun tiada di Kota Belud.

“Alhamdulillah kerajaan memberi peruntukan dan kita menjangkakan projek pembinaan Politeknik ini dapat disiapkan pada tahun 2021,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan, hari ini.

ABDUL Rahman (tiga dari kanan) meneliti pelan Politeknik Kota Belud yang akan dibina di Kampung Kesapang, Kota Belud. – Foto Ihsan Pejabat Ahli Parlimen Kota Belud

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, berkata kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM80 juta bagi menjalankan kerja membaik pulih serta mendalamkan dua sungai di daerah ini bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Beliau berkata, kekerapan banjir kilat di daerah ini, terutama di kawasan berhampiran sungai antara lain disebabkan aliran air tidak lancar berikutan keadaan sungai cetek kesan runtuhan batuan dan pasir ketika gempa bumi di Gunung Kinabalu, lebih dua tahun lalu.

“Gegaran disebabkan gempa bumi pada tahun 2015 menyebabkan ratusan ribu tan batu dan pasir mengalir ke hilir hingga mengakibatkan sungai menjadi cetek dan aliran air tidak lancar, sekali gus banjir semakin kerap walaupun hujan sedikit.

“Sehubungan itu, kita melakukan usaha mendalamkan lagi sungai di kawasan kampung yang kerap dilanda banjir bagi menangani masalah terbabit,” katanya yang turut meninjau kerja mengorek pasir di Sungai Tempasuk dekat Kampung Bobot.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, dianggarkan 69 peratus liputan kawasan di daerah ini telah menerima air bersih dan terawat susulan pelbagai usaha dilakukan kerajaan.

“Berbanding 10 tahun dulu, keadaan sekarang jauh lebih baik apabila semakin banyak kawasan menerima bekalan air bersih dengan tekanan air lebih baik.

“Sepanjang tempoh itu, kerajaan membelanjakan ratusan juta ringgit untuk menambah baik projek bekalan air,” katanya.

Loading...
Back to top