Siasatan penyelewengan dana luar bandar wajar disokong

KOTA KINABALU: Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat secara terperinci termasuk menahan suspek ada kaitan penyelewengan dana awam luar bandar di Sabah wajar disokong semua pihak.

EXCO Pemuda UMNO, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata tindakan itu sudah lama ditunggu selepas pelbagai cerita berkaitan salah guna kuasa dalam kementerian yang disiasat tersebar sejak Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Luar Bandar diwujudkan pada 2010.

Katanya, ketika itu banyak isu berkaitan projek diselia kementerian terbabit yang tertangguh, tidak siap, selain ada yang dilaporkan siap tetapi tidak dapat digunakan oleh rakyat.

“Amat malang sekali ada segelintir pihak memilih untuk membawa pelbagai teori konspirasi sebagai reaksi kepada beberapa siri tangkapan dan siasatan terbaru SPRM.

“Siasatan lanjut berhubung isu dana kerajaan Persekutuan untuk infrastruktur rakyat luar bandar di Sabah yang didakwa disalah guna dipesongkan dari isu sebenar.

“Ia dikatakan ‘witch hunt’, ‘occupational hazards’ dan banyak lagi. Apa yang penting, isu utama adalah siasatan ini membabitkan dana awam yang cukup besar.

“Ia satu kezaliman dan pengkhianatan kepada rakyat khususnya di luar bandar,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Armizan yang juga Ketua Pemuda UMNO Papar, berkata penyelewengan dana awam di negeri ini sangat menyedihkan, lebih-lebih lagi ia disyaki dilakukan anak tempatan Sabah sendiri.

Sehubungan itu, katanya, SPRM perlu diberi ruang sepenuhnya untuk meneruskan siasatan demi kepentingan rakyat luar bandar di Sabah.

“Jumlah penyelewangan yang disiasat amat besar mencecah bilion ringgit. Bayangkan berapa ramai rakyat luar bandar di Sabah yang dizalimi dan dinafikan hak akibat penyelewengan ini.

“Peruntukan besar NKRA Luar Bandar yang diberikan kerajaan Pusat sepatutnya boleh menyelesaikan isu bekalan air, elektrik dan jalan raya kampung untuk ratusan ribu masyarakat luar bandar di Sabah di antara 2010 hingga 2015,” katanya.

Loading...
Back to top