SPRM buka siasatan hasil ‘Watergate Sabah’

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan membuka siasatan skandal terbaharu di Sabah selepas menyelesaikan kes penyelewengan terbesar ‘Watergate’ negeri sama pada tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, berkata mereka memperolehi pelbagai maklumat khususnya daripada penduduk negeri itu mengenai gejala rasuah.

“Selepas menjalankan siasatan kes ‘Watergate’ ramai pihak datang kepada kami untuk mendedahkan isu rasuah di negeri itu termasuk pendedahan terbaharu berkaitan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Ketika ini kami memfokuskan kepada penyelewengan RM1.5 bilion daripada RM7.5 bilion peruntukan dana awam kepada kerajaan pusat khusus untuk pembangunan di Sabah,” katanya dalam sidang akhbar pratonton teater Bahara Emas.

Ditanya sebab SPRM berfokus kepada Sabah, beliau berkata, tindakan serupa akan berlaku di negeri lain cuma pihaknya tidak mempunyai anggota yang cukup.

“Sejak 2008 kita dijanjikan seramai 5,000 keanggotaan kerana setakat ini kita hanya ada 3,000 pegawai sahaja termasuk anggota sokongan.

“Oleh sebab itulah kita hanya memfokuskan kes-kes tertentu setakat ini,” katanya.

Loading...
Back to top