SPRM Geledah Rumah Shafie Cari Bukti

Pegawai SPRM memasuki rumah Shafie Apdal di Penampang hari ini- Gambar FB Jakariya Abjalil

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, menggeledah rumah Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang terletak di Taman Golf View dekat Penampang.

Sepasukan anggota penyiasat SPRM pergi ke kediaman itu mulai jam 3 petang tadi, dipercayai bagi meneruskan siasatan kes penyelewengan dana awam bernilai RM1.5 billion yang disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah.

Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking, ketika mengesahkan perkara itu, berkata SPRM turut membawa Mohd Shafie bersama ketika pengeledahan terbabit.

Katanya, Mohd Shafie, 60, kemudian dibawa ke ibu pejabat SPRM Sabah untuk menjalani perintah tahanan reman bagi membantu siasatan SPRM.

Sebelum itu, Mohd Shafie, 60, yang ditahan reman empat hari sejak semalam bagi membantu siasatan kes berkenaan, dibenarkan keluar dari Hospital Queen Elizabeth (QEH), di sini, tengah hari tadi.

Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan sejak malam Khamis lalu bagi mendapatkan rawatan kerana darah tinggi dan dibawa semula ke hospital sama selepas selesai proses mendapatkan perintah tahanan reman di mahkamah, semalam.

Setakat ini, SPRM sudah menahan 11 individu di Sabah dan Putrajaya membabitkan tujuh ahli politik, tiga ahli perniagaan dan seorang penjawat awam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Selain Mohd Shafie, turut ditahan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal yang disambung reman dua hari bermula esok selepas tempoh reman empat hari beliau sebelum ini tamat hari ini.

Turut ditahan ialah Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony; Ketua Wira parti itu, Datuk Mohd Azis Jamman; Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar dan Ketua UMNO Tawau, Ariffin Kassim.

Yang lain ialah ahli perniagaan, Hamid Apdal, 52; menantunya yang juga ahli perniagaan berumur 33 tahun dan seorang lagi ahli perniagaan berumur 52 tahun serta bekas setiausaha bahagian KKLW.

Mereka bagaimanapun sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM, manakala seorang lagi yang ditahan kelmarin, iaitu ahli Warisan Putatan berumur 47 tahun masih direman hingga Rabu depan.

SPRM sebelum ini mendedahkan siasatan kes penyelewengan dana disalurkan KKLW untuk pembangunan luar bandar di Sabah membabitkan nilai RM1.5 bilion yang dilaporkan berlaku antara tahun 2009 hingga 2015.

Loading...
Back to top