Tiada ruang Ketuanan Melayu di Sabah – MCA Sabah

TIADA ruang untuk Ketuanan Melayu di Sabah kata MCA, sekaligus menolak kenyataan Presiden Perkasa Ibrahim Ali yang meminta kaum minoriti Sabah perlu hentikan tuntutan “tidak masuk akal” dan sepatutnya berterima kasih kerana diiktiraf sebagai rakyat Malaysia.

Timbalan Pengerusi MCA Sabah Francis Goh menyelar Ibrahim dan berkata pemimpin kumpulan pendesak Melayu itu sepatutnya memahami perkauman di Sabah terlebih dahulu, sebelum cuba menyemai kebencian dalam kalangan orang asal terhadap kaum minoriti Cina.

Goh berkata selain kahwin campur dan keharmonian kaum sedia ada, Cina dan terutamanya KadazanDusun Murut (KDMS) berkongsi pilihan mereka untuk “makan khinzir dan minum bir”.

Francis Goh

“Tolonglah Ibrahim Ali, jangan datang ke Sabah dan menyebarkan kebencian kaum kamu di sini, jangan sebarkan penipuan sebelum kamu faham fakta sejarah dan keharmonian kaum antara Cina dan orang asal,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada Ahad, Ibrahim berkata kaum minoriti Sabah perlu hentikan membuat tuntutan seperti menggesa Putrajaya untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan merujuk kepada kaum Cina.

Beliau juga berkata kaum minoriti sepatutnya bersyukur diiktiraf sebagai rakyat Malaysia dan menambah kenyataannya bukan satu isu perkauman tetapi hanya mempertahankan hak orang asal di Sabah. Ibrahim berada di Mengkabong Tuaran untuk menghadiri mesyuarat agung tahunan Perkasa Sabah.

Statistik menunjukkan masyarakat Cina terdiri daripada 311,500 orang daripada keseluruhan populasi 3.544 juta orang.

Goh berkata Ibrahim tidak jelas bahawa 55% pelajar sekolah rendah Cina di Sabah terdiri daripada masyarakat KDMs dan Melayu.

“Ibu bapa bukan keturunan Cina menghantar anak mereka ke sekolah Cina, kerana menyedari kepentingan bahasa Mandarin.

“Penguasaan bahasa Mandarin membolehkan mereka berkomunikasi dengan warganegara China memandangkan ekonomi negara itu yang semakin berkembang,” katanya.

Goh turut mengingatkan Ibrahim bahawa Sabah dan Sarawak yang bersetuju untuk membentuk Malaysia bersama dengan Malaya pada 1963, justeru kenyataannya bahawa Cina di Sabah perlu bersyukur diiktiraf sebagai rakyat Malaysia menunjukkan pengetahuan cetek Ibrahim dalam sejarah Malaysia.

“Lagipun, rakyat Sabah akan lebih makmur dan gembira sekiranya mereka tidak pernah bersetuju untuk membentuk Malaysia.

“Ibrahim perlu menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963, walaupun perdana menteri (Najib Razak) yang datang ke Kota Kinabalu pada 16 September lalu untuk menyambut Hari Malaysia berkata Putrajaya akan meminda perjanjian itu untuk memulihkan kembali hak keistimewaan negeri Malaysia Timur,” katanya.

“Jadi, Ibrahim Ali, jika kamu datang ke Sabah untuk menyebarkan sentimen kaum dan cuba mempamerkan Ketuanan Melayu kamu, kamu tiada ruang di sini dan Perkasa perlu pulang ke Semenanjung Malaysia dan umumkan dengan rasmi bahawa ia adalah untuk Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).

“Jika kamu mengambil berat tentang orang asal Sabah, jadi gesa kerajaan untuk memberikan kaum minoriti hak kesamarataan dalam ekonomi dan perniagaan, dan bantu mereka dari segi kewangan,” kata Goh.

Goh turut menggesa Ibrahim agar tidak membantah penggunakan perkataan “Allah” oleh masyarakat bukan Islam KDM sekiranya beliau benar-benar memperjuangkan hak orang asal Sabah.

Loading...
Back to top