Pemimpin Kristian BN Sabah Hipokrit – Shafie Apdal

Penasihat DAP Lim Kit Siang, presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal dan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin dalam satu majlis pada tahun ini

SHAFIE Apdal menyelar pemimpin Kristian Barisan Nasional (BN) di Sabah sebagai “hipokrit” kerana gagal melindungi agama.

Presiden Warisan itu menamakan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Joseph Kurup; Presiden Parti Bersatu Sabah, Joseph Pairin Kitingan; Pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Wilfred Madius Tangau; dan Presiden Upko, Bernard Dompok sebagai pemimpin yang menggambarkan diri mereka sebagai hero Kristian bagi kawasan masing-masing sahaja.

Shafie berkata mereka tidak menolak kerjasama Umno dengan PAS, yang mengajar versi Islam melampau.

“Kenapa Kurup, Dompok dan Pairin tidak berkata apa-apa kepada Umno? Di Parlimen dan dalam majlis tertinggi BN, mereka tidak menyuarakan apa-apa, tetapi di Sabah mereka mengatakan sesuatu untuk menunjukkan yang mereka memperjuangkan agama.

“Dalam BN, sepatutnya ada semangat kesepakatan di kalangan ahli-ahlinya, walaupun satu anggotanya menolak, sepatutnya tiada perbincangan.

“Tetapi Umno kini bekerjasama dengan PAS,” kata Shafie semasa sesi makan tengah hari di Keningau bersama pemimpin Kristian dari Pensiangan, Nabawan dan Keningau.

“Anda tidak boleh hanya melindungi agama di kawasan masing-masing sahaja. Anda harus melakukannya untuk negara anda. Apabila ia membincangkan isu melindungi hak rakyat Sabah, saya tidak kisah mengorbankan nyawa saya.”

Beliau berkata jika Warisan berkuasa, ia akan mempertahankan kesucian agama Kristian berdasarkan perlembagaan persekutuan.

Shafie berkata beliau adalah seorang menteri persekutuan yang menyokong penggunaan kalimah “Allah” oleh rakyat Malaysia, dan kemudiannya diputuskan oleh persekutuan ia hanya boleh digunakan di Sabah dan Sarawak.

“Kita juga perlu diingatkan bahawa pengajaran asas Islam bahawa tiada paksaan terhadap mana-mana individu memeluk Islam. Ia perlulah berdasarkan kepada kerelaan diri sendiri.

“Inilah yang patut kita hormati,” katanya. – 19 November, 2017, MALAYSIAN INSIGHT

Loading...
Back to top