PRU 14 diramal Jan-Mac tahun hadapan

Sekadar Gambar Hiasan

MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) diadakan dalam suku pertama tahun depan iaitu antara Januari hingga Mac.

Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting berkata kebarangkalian PRU14 diadakan tahun ini dilihat sudah terlambat kerana di penghujung tahun.

“Kemungkinan PRU14 diadakan tahun depan kerana tahun ini sudah terlalu lewat. Ada pihak mengatakan dalam tempoh suku pertama dan kita ada beberapa bulan lagi menghadapinya,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tiga Tahun Sekali (TGM) SUPP Piasau di sini semalam.

Pengerusi SUPP Piasau itu berkata SUPP akan bertanding di tujuh kerusi Parlimen SUPPiaitu Miri, Bandar Kuching, Stampin, Serian, Sarikei, Sibu dan Lanang.

Menurutnya, ahli-ahli diminta bekerja lebih keras membolehkan SUPP memenangi semua kerusi itu.

“Calon-calon berpotensi telah turun padang dan kita bekerja keras. TDC (Persidangan Deligasi Tiga Tahun Sekali) akan diadakan di Kuching pada 22 dan 23 Disember depan,” jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau itu memberitahu bahawa jentera parti itu telah bergerak sejak tahun lalu sehingga sekarang mempersiapkan diri berdepan apa juga cabaran kempen parti lawan menjelang PRU14 nanti.

“Kita adalah parti berorientasikan rakyat. Kita tidak menunggu pilihan raya untuk datang. Kita terus berkhidmat kepada rakyat,” jelasnya.

Katanya setiap cawangan dan ranting diarah turun padang menemui rakyat untuk menambah sokongan mereka terhadap SUPP.

Ting berterima kasih kepada rakyat kerana kembali memberi peluang kepada SUPP terus berkhidmat mewakili mereka.

Mengenai TGM, beliau berbangga dengan semangat penyatuan dan kerjasama kalangan ahli memperkukuh parti.

“Hampir semua cawangan dan ranting parti mengadakan TGM yang perlu dilakukan dalam tempoh 1 hingga 15 November.

“Semua berjalan dengan baik. Tiada pertandingan. Ini menunjukkan penyatuan antara ahli di seluruh Sarawak,” katanya.

Mengenai keahlian, SUPP Piasau menerima seramai 600 ahli baharu dalam tempoh tiga tahun.

Ting berharap lebih ramai penduduk menyertai parti itu untuk memperluas peranan dan khidmat kepada rakyat di negeri ini.

Loading...
Back to top