10 ribu penduduk Pitas merayu

PITAS: Lebih 10,000 penduduk merayu perhatian kerajaan baharu agar mengambil langkah segera membaiki keadaan jalan raya masuk ke kampung mereka yang semakin rosak teruk terutama ketika musim tengkujuh.

Tinjauan Utusan Borneo baru- baru ini mendapati jalan raya sepanjang 35 kilometer (km) yang sebahagian kecil sahaja berturap, hampir terputus hubungan dengan dunia luar kerana keadaan jalan menjadi semakin teruk dan sukar dilalui kenderaan.

Lebih menyedihkan, sekitar kawasan itu juga terdapat sekolah rendah dan menengah serta klinik kesihatan yang bergantung harap dengan keadaan jalan untuk menjalankan urusan harian.

Menurut penduduk Kampung Telaga Jamri Dayoh, 52, ekoran jalan licin, berlopak dan berlubang ketika hujan, perjalanan dari kampungnya ke simpang tiga jalan pekan Pitas mengambil masa tiga hingga empat jam.

“Kalau jalan tidak licin dan berlopak, kami mengambil masa dua jam untuk sampai ke simpang tiga, bergantung dengan teknik pemanduan dan kereta yang dinaiki.

“Atas sebab itu, kebanyakkan penduduk akan jalan seawal subuh lagi jika mempunyai urusan rasmi agar tidak kelewatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, di sini baru- baru ini.

Tambahnya, penduduk di beberapa kampung terlibat kebanyakkan bekerja sebagai nelayan dan petani yang terpaksa melabur duit membeli kenderaan pacuan empat roda bagi memudahkan mereka melakukan urusan jual beli.

Sebahagian penduduk kampung juga ada yang masih menggunakan kenderaan kecil seperti Kancil, Myvi, Proton yang tidak terlepas mengalami kerosakan akibat terbabas atau terbenam dalam lumpur lopak jalan.

“Sekiranya kereta rosak, kos membaikinya bukan hanya puluhan ringgit, tapi mencecah ratusan ringgit… hal ini sememangnya membebankan kami selaku penduduk kampung.

“Lebih teruk lagi, kalau ada hal kecemasan misalnya menghantar ibu bersalin, pesakit kritikal yang memerlukan rawatan segera di hospital, pasti sukar disebabkan keadaan jalan seperti ini,” katanya.

Edris Rusli, 59, yang juga penduduk kampung yang sering menggunakan jalan itu berkata, isu ini sudah lama dipersoalkan dan dilaporkan kepada pihak berkenaan, namun tiada sebarang tindakan diambil.

Katanya, ketika pemerintahan kerajaan dahulu lagi, pelbagai janji manis dilontarkan kepada penduduk kampung demi mengaut undi bagi memenangi pilihan raya dengan memberi jaminan bahawa akan membaiki jalan raya di kawasan itu, namun ia sekadar ‘Janji tin kosong’.

“Semuanya palsu, tiada pun tindakan dibuat!. Sudah 30 tahun keadaan jalan ini tetap sama..tiada siapa pun mahu mengambil peduli suara kami.

“Tiap kali hanya tindakan menimbus dengan batu jika ada jalan berlubang, kadang ada juga diturap.. tapi ‘Senipis kulit bawang’ saja. Usaha ini sedikit pun tidak menampakkan ianya bertahan lama.

“Setelah itu, jalan tetap berlubang dan bila mana lori- lori besar dari syarikat tertentu menjalankan aktiviti mereka melalui jalan ini, jalan akan semakin bertambah teruk,” jelasnya.

Adin Asan, 57, turut berasa kecewa dengan kemajuan di kawasan tempat lahirnya itu yang mana pemimpin-pemimpin terdahulu ibarat ‘melepaskan batuk di tangga’ dan tidak pernah mengotakan janji membaiki jalan raya terbabit.

Atas sebab itu juga katanya, pelbagai pembangunan sukar dilaksanakan dan ia sekaligus akan mengekalkan status daerah Pitas sebagai daerah termiskin.

“Macam mana kami mahu memajukan diri dan lari dari kemiskinan, kalau jalan raya sebagai penghubung dari kawasan kampung ke pekan pun masih lagi tidak diturap… isu ini sudah bertahun- tahun lamanya.

“Kegiatan perniagaan, perusahaan, pertanian, dan sebagainya juga terbantut kerana kesukaran untuk kami berurusan di pekan akibat keadaan jalan yang amat memenatkan dan menyedihkan sekali!,” katanya.

Selain itu katanya, tempat pelancongan berpotensi yang ada di kawasan itu juga dilihat tidak rancak dilaksanakan seperti mana tempat lain, disebabkan kemudahan asas itu yang tidak diambil peduli.

Misalnya, Pulau Supirak yang terletak di Kampung Malubang semakin terkenal dan menjadi daya tarikan kepada pelancong dalam dan luar negara.

“Kala ada kawasan strategik untuk dibangunkan sebagai pusat pelancongan, tapi jalan raya tidak lagi berturap… macam mana pelancong datang? Takkan menaiki bot dari jalan laut saja kan.

“Jadi, kalau jalan raya diturap, saya yakin lokasi itu akan semakin rancak membangun dan akan lebih banyak lagi eko pelancongan yang berpotensi untuk dimajukan dapat diterokai,” katanya.

Justeru beliau berharap kerajaan baharu berupaya merealisasikan impian sedemikian bagi membina jalan raya berturap sepertimana yang diimpikan oleh penduduk kampung selama ini.

S

BEBERAPA laluan jalan di hadapan terdapat banyak lokasi paling teruk digambarkan oleh penduduk kampung seperti tempat kerbau berkubang – UTUSAN BORNEO
elain itu, Fajri Basri, 26, anak muda dari Kampung Mangkubau Laut turut merayu supaya kerajaan baharu ini akan memberi keajaiban kepada penduduk di kawasan itu.

Katanya, keadaan jalan akan menjadi semakin berbahaya terutama pada musim tengkujuh kerana kenderaan mudah tergelincir malah sering terbenam dalam lopak yang dalam.

“Kadang, disebabkan jalan seperti ini, kami anak muda bekerja di bandar yang ingin balik ke kampung halaman apabila menjelang perayaan akan berfikir panjang.

“Apa tidaknya, jalan ini hanya dapat dilalui kenderaan pacuan empat roda dan tidak dapat digunakan kenderaan kecil… itupun kalau sudah ‘berpengalaman’ melalui jalan sebegitu,” katanya.

Terdahulu, jalan raya yang dianggarkan sepanjang 35km itu menjadi penghubung laluan darat kepada penduduk dari 20 buah kampung seperti Kampung Bongkol, Malubang, Telaga, Liu, Datong, Mangkubau darat, Mangkubau Laut dan lain- lain. – UTUSAN BORNEO, 22 Disember 2018

Loading...
Back to top