Petisyen tuntut baiki jalan Beluran-Telupid

BELURAN: Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) digesa segera membaiki beberapa jalan raya yang rosak dan berlubang diantara Jalan Beluran-Sandakan dan Sandakan-Telupid.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Labuk, Abdul Rahman Datuk Haji Kongkawang berkata, selain jalan berkenaan, jalan raya di tempat-tempat lain seperti jalan ke Lahad Datu dan jalan Kalabakan-Keningau juga memerlukan perhatian Kerajaan Warisan.

Katanya, beliau amat kesal dan kecewa dengan keadaan jalan berkenaan terutama jalan raya Beluran-Telupid yang nyata amat teruk sekali.

“Ini adalah Jalan Persekutuan dan ternyata syarikat penyelenggara yang dilantik kerajaan gagal menjalankan tugas menyelenggara jalan tersebut.

“Demi keselamatan pengguna, pihak berkenaan seharusnya terus menyelenggara jalan-jalan tersebut agar lubang-lubang yang terbentuk di jalan tidak menjadi besar, dalam dan bertambah banyak sehingga sukar dilalui oleh pengguna,” katanya.

Abdul Rahman berkata, beliau menerima banyak aduan daripada pengguna jalan-jalan tersebut mengenai kerosakan “rim”, tayar pecah dan meletup, juga berlaku kemalangan yang boleh mengakibatkan kehilangan jiwa.

“Keadaan jalan raya itu sangat teruk sekali sejak dua bulan yang lalu dan berlaku beberapa kemalangan yang mengakibatkan kecederaan,” katanya.

Beliau tidaklah mahu menunding jari menyalahkan kerajaan pada masa ini, namun sangat berharap agar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal dapat mengarahkan Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony supaya turun padang meninjau sendiri keadaan jalan raya ini.

Abdul Rahman yakin Kerajaan Warisan dapat melakukan sesuatu yang terbaik untuk rakyat negeri ini terutama kawasan Beluran dan Telupid.

Beliau mengajak rakyat agar bersabar serta sama-sama memberi ruang dan peluang kepada Ketua Menteri merancang serta meningkatkan pembangunan negeri ini khususnya di kawasan luar bandar.

“Saya juga dengan rendah diri menasihati semua pengguna jalan raya supaya berhati-hati semasa memandu lebih-lebih lagi di musim perayaan Hari Natal dan Tahun baru cina yang akan menjelang tiba.

“Atas rasa simpati kepada semua pengguna jalan raya, saya mendoakan semoga Allah melindungi setiap perjalanan serta selamat sampai ke destinasi yang dituju.

“Saya juga mengucapkan Selamat Hari Natal dan Tahun Baru 2019 kepada semua rakyat kawasan DUN Labuk, semoga seluruh rakyat dan pengguna jalan raya dilindungi serta di beri kesihatan yang baik”, tambahnya.

Loading...
Back to top