800 pelajar di Telupid dalam kelas bawah kanopi

TELUPID: Hari pertama persekolahan bagi lebih 800 pelajar SK Pekan Telupid berbeza dari hari biasa di dalam bilik darjah apabila mereka terpaksa belajar dalam kelas di bawah kanopi terbuka.

Ini kerana sebahagian bumbung bangunan di sekolah berkenaan diterbangkan angin kencang pada 18 Jun, 2018 lalu.

Menurut guru besar SK Pekan Telupid, Dominic Nara, dia mendapat jaminan daripada pihak berkenaan bahawa sekolah itu boleh mengadakan kelas sebelum beliau membuat keputusan untuk membuka semula sekolah selepas ribut.

Bumbung Sekolah SK Pekan Telupid yang rosak disebabkan oleh angin kencang yang berlaku pada bulan Jun tahun lalu

Bagaimanapun disebabkan pembaikan bangunan sekolah mengambil masa yang lama, para pelajar ini terpaksa belajar di bawah enam kanopi yang disediakan khusus.

“Kami mempunyai lebih 800 pelajar dan mereka dibahagikan kepada sesi pagi dan petang. Seramai 149 pelajar baharu yang berdaftar.

SK Pekan Telupid adalah sekolah terbesar di Telupid. Anda boleh membayangkan bagaimana keadaan mereka belajar di bawah kanopi,” katanya memetik laporan The Borneo Post yang disiarkan hari ini.

Dominic berharap jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan akan membantu sekolah ini untuk mempercepatkan kerja-kerja pembaikan sekolah atau mencari jalan penyelesaian sementara yang terbaik untuk para pelajar.

Sementara itu, salah seorang ibu bapa pelajar menyatakan kekecewaannya terhadap kejadian itu kerana selepas enam bulan berlalu masalah bumbung sekolah berkenaan masih belum dapat diselesaikan sehingga hari ini.

“Saya harap mereka dapat mempercepatkan kerja-kerja pembaikan sekolah ini. Saya meninggalkan anak saya di sekolah dengan hati yang berat kerana mengetahui bahawa anak saya hanya akan ditutup dengan kanopi, sama ada di dalam hujan atau di bawah matahari panas, “katanya. – 3 Januari 2019

Loading...
Back to top