Bapa akur anak lelaki ditahan AADK di Keningau

KENINGAU: Seorang bapa akur apabila anak lelakinya yang berumur 27 tahun ditahan oleh pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Keningau kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah, di sini pada Ahad.

Ketua Operasi yang juga Ketua Pegawai AADK Keningau, Azry Golbin @ Azmi berkata, ketika ditahan, suspek lelaki berkenaan sempat meminta kebenaran dengan Pegawai AADK untuk memeluk bapanya kerana terlalu risau ditahan dan dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak Penguatkuasa AADK yang bertugas sebelum dibawa ke Pejabat AADK Keningau untuk proses penahanan.

Katanya, semasa tangkapan dibuat, bapa suspek memberi kerjasama yang baik dan mengharapkan pihak AADK dapat membantu dalam Proses Kepulihan anaknya yang sebelum ini juga pernah ditahan oleh pihak Polis.

Jelas Azry, Operasi Cegah yang dijalankan oleh pihaknya telah berjaya menahan seramai lapan orang suspek lelaki berumur dalam lingkungan 23 hingga 33 tahun di sekitar daerah Keningau dan juga Tenom.

“Pada hari yang sama, operasi pertama telah dijalankan pada sebelah pagi di sekitar Daerah Tenom dan berjaya menahan dua suspek lelaki, manakala pada sebelah malam pula pihak AADK telah menahan enam orang lagi lelaki yang disyaki sebagai penagih dadah.

“Hasil pemeriksaan dibuat mendapati kesemua suspek gagal dalam ujian saringan dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini kelamrin.

Katanya, kesemua suspek diperintahkan untuk tahanan reman selama lapan hari bermula kelmarin oleh Mahkamah Majistret Keningau dan kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah, Rawatan Dan Pemulihan 1983 kerana di syaki sebagai penagih dadah.

Tambah Azry, pihaknya menyeru agar semua pihak terus bersikap prihatin dan segera melaporkan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing kepada pihak AADK secara bersemuka atau menghubungi Pejabat AADK Keningau ditalian 087-339886.- OLEH RIZALMI LIMAN

Loading...
Back to top