Bekas pemimpin Umno Sabah mahu balas dendam pada Warisan

Bekas pemimpin Umno Sabah yang meninggalkan parti itu baru-baru ini berhasrat menyertai Bersatu untuk membalas dendam kepada Parti Warisan Sabah (Warisan), kata Exco Pemudanya, Musliadi Mustafa.

Menurut Musliadi, mereka berbuat demikian meskipun sedar rancangan tersebut tidak disenangi rakyat Sabah dan bahkan Bersatu juga tidak dialu-alukan di negeri itu.

“Bagaimanapun mereka mahu membalas dendam terhadap Warisan dan Pakatan Harapan (PH) Sabah. Justeru, mereka tidak mempedulikan kritikan dan maruah diri sendiri asalkan dapat mengganggu kerjasama antara Warisan dengan PH Sabah,” katanya seperti dilapor FMT.

Pada 12 Dis lepas, Umno di Sabah lumpuh apabila sebahagian besar Anggota Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan senator Umno di negeri itu keluar parti bersama-sama sekumpulan ketua bahagian.

Wakil rakyat berkenaan setakat ini mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil bebas namun terdapat spekulasi sebahagian mereka bakal menyertai Bersatu.

Bagaimanapun Bersatu menolak kebimbangan Warisan bahawa ia akan membuka cawangan di negeri itu.

Musliadi, yang menyifatkan bekas pemimpin Umno Sabah berkenaan sebagai “terdesak” berkata, mereka akan terus melihat Warisan sebagai musuh.

“Bagi mereka, kedudukan mereka sekarang tidak mempunyai apa-apa makna. Kerjaya politik mereka telah berakhir.

“Oleh sebab itu, mereka bersedia berbuat apa-apa sahaja dengan mendesak pemimpin PPBM supaya masuk ke Sabah.”

“Mereka dilabelkan sebagai ‘katak’ dan ‘anjing’, tetapi mereka tidak peduli asalkan dapat membalas dendam,” katanya.

Musliadi berkata di bawah kerajaan negeri yang baru di Sabah, tidak ada lagi tempat untuk ahli politik seperti itu.

“Mereka ditolak dan rakyat Sabah tidak lagi mengharapkan mereka. Sesetengah mereka menang dalam pilihan raya kerana sokongan kuat jentera kerajaan,” katanya.

Malaysiakini, 30 Disember 2018

Loading...
Back to top