Besi penghadang tembus cermin kereta

WANITA warga emas maut manakala suami dan cucunya cedera ringan selepas kereta mereka terbabas dan tertembus besi penghadang di Kilometer 24 Jalan Lama Papar, Papar, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.50 pagi itu, mangsa berusia 60 tahun maut di tempat kejadian manakala suaminya, 66, dan cucu perempuan berusia setahun cedera ringan.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama cucunya menaiki Perodua Kancil yang dipandu suaminya dalam perjalanan dari arah Kinarut menuju ke Papar.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata, siasatan mendapati Perodua Kancil berkenaan cuba mengelak sebuah kenderaan pacuan empat roda yang memotong dari arah bertentangan sehingga terbabas ke tepi jalan.

“Perodua Kancil kemudian bergesel dengan besi penghadang di kiri jalan lalu melanggar hujung besi sehingga menembusi cermin depan.

“Mangsa yang duduk di bahagian penumpang maut di lokasi kejadian manakala suaminya dirawat di Klinik Kesihatan Kinarut sebelum dipindahkan ke Unit Kecemasan Hospital Papar.

“Cucu mangsa pula dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Papar dengan ambulans selepas berjaya dikeluarkan pasukan bomba. Kedua-dua mangsa yang cedera dilaporkan stabil,” katanya.

Batholomew berkata, keterangan awal daripada pemandu Perodua Kancil mengatakan dia melihat kenderaan yang datang dari arah hadapan di laluannya lalu mengelak ke tepi dengan serta-merta ke bahu jalan sebelah kiri.

“Siasatan masih dijalankan dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Papar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Loading...
Back to top