Jalan Salimpodon-Mantus: Penduduk lima kampung desak kerajaan campur tangan

PITAS: Penduduk di lima kampung dalam kawasan Salimpodon Darat di sini merayu kepada kerajaan agar campur tangan dalam masalah jalan raya yang sudah 14 tahun menanti untuk diaspal, namun sehingga kini masih belum terlaksana.

Jalan Salimpodon-Mantus sejauh 4 kilometer yang menjadi jalan utama penduduk itu kini menjadi isu panas apabila Jabatan Kerja Raya Daerah Pitas tidak konsisten menangani pengusaha kuari yang menggunakan jalan itu sepenuh masa.

Isu utama yang kini menjadi perdebatan hangat masyarakat lima perkampungan itu ialah jalan gravel dari Kg Salimpodon bermula dari kawasan penempatan kuari ke Kg Mantus sejauh 4km bakal mencetus pergaduhan sekiranya tiada tindakan tegas diambil.

Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Kampung Salimpodon (5K) Sapaun Inotol, ketika mesyuarat mengenai isu itu di Rumah Budaya Kimaragang di sini, berkata sudah beberapa kali pemimpin kampung menyarankan kepada pengusaha kuari yang bertapak di ulu kampung itu supaya mengurangkan penimbusan jalan utama yang rosak akibat kerap dilalui kenderaan berat, sebaliknya menggrednya supaya paras muka jalan asal kekal.

Katanya, apabila syarikat kuari banyak kali menimbus jalan yang rosak menggunakan batu tidak berkelas, ditambah lagi dengan ketiadaan bahu jalan dan parit, akhirnya jalan raya sudah melebih paras asal muka yang mengakibatkan perumahan penduduk ditengelami air apabila hujan lebat.

“Penduduk juga marah apabila sungai Salimpodon Darat yang dulunya jernih dan dalam akhirnya menjadi cetek dan tidak boleh digunakan terutamanya untuk makan minum dan mandi kerana sudah tercemar.

“Di ulu sungai Salimpodon, syarikat kuari terbabit telah membuat pembetungan supaya sisa hasil kerja mereka tidak tumpah ke sungai itu namun, penduduk kampung mendapati sistem itu tidak berfungsi tetapi menyebabkan sungai menjadi cetek dan tercemar,” katanya.

Selain itu, tambahnya, penduduk kampung yang mengusahakan tanaman kontan terpaksa menerima kerugian apabila habuk batu, sama ada dari pusat operasi atau kilang kuari mahu pun yang diangkut menggunakan lori, mencemari ladang mereka.

“Kalau bukan kepada JKR Daerah Pitas, Jabatan Alam Sekitar atau agensi yang berkaitan, jabatan kerajaan mana lagi yang perlu kami temui untuk membuat aduan mengenai masalah ini?.

“Memandangkan perkara ini tidak boleh dibiarkan berterusan, maka kami merayu kepada Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shaffie Haji Apdal agar campur tangan menyelesaikan isu yang sekian lama tidak berkesudahan ini,” katanya.

Sapaun menjelaskan, mereka membentuk jawatankuasa kesejahteraan itu bagi mengelak daripada kejadian yang tidak diingini jika sekiranya syarikat kuari terbabit sukar untuk diajak berunding sementara JKR pula bersikap dingin mengenai perkara itu.

Mereka juga merayu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Pitas agar membantu penduduk di lima kampung berkenaan untuk mengetengahkan masalah itu kepada pihak yang berwajib supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Beliau berkata, tiada perkara yang tidak boleh diselasaikan sekiranya agensi yang bertanggungjawab tegas melaksanakan tegas serta pemimpin berkhidmat untuk pembangunan rakyat keseluruhannya.

UTUSAN BORNEO, 14 Januari 2019

Loading...
Back to top