Jika DAP, PKR, Amanah boleh ke Sabah, kenapa BERSATU tidak ?

DAP Sabah tidak mempunyai hak untuk menghalang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melebarkan sayap ke Sabah, kata Bekas Ketua Umno Bahagian Silam Abdul Hakim Gulam Hassan.

Beliau antara yang keluar dari Umno pada bulan lepas berkata negara ini mengamalkan sistem demokrasi dan mana-mana parti politik bebas untuk menubuhkan cawangan mereka.

“Jika parti yang berpangkalan di Semenanjung seperti DAP, PKR, PAS, Amanah dan Umno boleh dan telah mengembangkan sayap ke Sabah, maka tidak ada sebab Bersatu tidak dapat berbuat demikian.

“DAP Sabah yang menyokong pendirian Parti Warisan Sabah (Warisan) agar Bersatu tidak melebarkan sayap ke negeri ini jelas mengamalkan politik yang tidak matang serta bertentangan dengan sistem demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Hakim mengulas kenyataan Pengerusi DAP Sabah Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang menyokong pendirian Presiden Warisan yang juga Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal agar Bersatu tidak melebarkan sayap ke Sabah.

Abdul Hakim keluar dari Umno bersama-sama wakil rakyat dan pemimpin Umno Sabah yang diketuai oleh bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Hajiji Noor mempersoalkan motif DAP Sabah yang menentang hasrat Bersatu masuk ke Sabah.

Menurutnya rakyat Sabah sepatutnya diberi kebebasan dan hak untuk memilih parti politik yang ingin mereka sertai dan sokong.

– Bernama

Loading...
Back to top