JKR Sabah perlu RM37 Juta baiki laluan ‘maut’

KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) memerlukan RM37 juta untuk melaksanakan kerja pembaikan bahagian jalan raya yang mengalami kerosakan teruk di sepanjang laluan Telupid-Beluran.

Pengarah JKR Sabah, Ir Richard Jomiji Kinsil, berkata ia membabitkan jarak 105 kilometer bermula dari sempadan Telupid – Ranau di Kilometer (KM) 177 hingga ke Checkpoint Batu 32, Sandakan di KM 282.

Selain itu, katanya, RM2 juta diperlukan segera untuk kerja pembaikan kritikal di sepanjang laluan berkenaan, terutama bagi menyelesaikan masalah laluan berlubang yang mengancam keselamatan pengguna.

Katanya, kerosakan yang berlaku sudah melebihi lapisan asas jalan dan memerlukan pembaikan menyeluruh kerana teknik tampalan lubang tidak lagi berkesan disebabkan ia tidak mampu bertahan lama.

“Disebabkan kerja tampalan lubang tidak berkesan, JKR Sabah telah mengarahkan pihak syarikat konsesi untuk melaksanakan kerja pembaikan ‘heavy patching’ dan ‘regulating works’ di lokasi yang rosak teruk.

“Kaedah pembaikan ini akan bertahan lebih lama berbanding tampalan lubang. Pelaksanaan kerja pembaikan ini adalah secara kerja kecemasan,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rungutan pengguna yang tidak berpuas hati dengan keadaan jalan raya di sepanjang laluan Telupid-Beluran hingga ada yang membuat petisyen melalui media sosial meminta kerajaan bertindak segera.

Richard berkata, JKR mengambil langkah drastik itu walaupun belum mendapat kelulusan Kementerian Kerja Raya bagi mengatasi masalah kerosakan yang semakin serius, selain untuk mengurangkan ketidakselesaan pengguna.

“Langkah ini juga diambil supaya jalan raya itu lebih selamat untuk digunakan oleh pengguna jalan raya.

“Pihak syarikat konsesi juga diarah memasang papan tanda amaran bagi memaklumkan kerosakan jalan raya yang berlaku supaya pengguna memperlahankan kenderaan dan lebih berhati-hati apabila melalui bahagian yang rosak.

“JKR juga meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengetatkan penguatkuasaan dan meningkatkan rondaan bagi menangani lori lebih muatan yang menggunakan jalan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Jambatan Timbang (Weigh Bridge) kepunyaan JPJ di Checkpoint Batu 32, Sandakan perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan itu.

Keadaan jalan Telupid-Beluran yang rosak teruk dianggap sebagai jalan maut kerana boleh mengundang bahaya kepada pengguna mereka yang melalui jalan ini

Laluan Telupid-Beluran adalah sebahagian jalan persekutuan Kota Kinabalu-Sandakan yang menjadi laluan utama menghubungkan pantai barat dan timur Sabah dengan kos penyelenggaraan bergantung kepada peruntukan kerajaan Persekutuan.

Richard berkata, kerosakan di laluan itu berpunca daripada lori mengangkut buah sawit dengan kebanyakannya lebih muatan dari ladang di sekitar Telupid, Tongod, Paitan, Pitas dan Beluran untuk dihantar ke kilang pemprosesan sepanjang jalan berkenaan.

Selain itu, katanya, kelewatan pembaikan disebabkan keputusan Kementerian Kewangan Persekutuan pada tahun lalu yang memutuskan kerja penyelenggaraan tidak dilakukan kerana ia akan dinaik taraf menerusi projek Lebuh Raya Pan Borneo, namun tender untuk laluan itu belum dikeluarkan.

“Susulan keputusan Kementerian Kewangan pada awal tahun 2017 itu, JKR Sabah telah memaklumkan kepada Kementerian Kerja Raya bahawa kerja pembaikan tetap perlu dilakukan.

“Ini kerana jalan raya telah mengalami kerosakan dan perlu diperbaiki terlebih dahulu sementara menunggu pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah. Pembaikan adalah perlu bagi memastikan jalan raya selamat untuk digunakan,” katanya.

Richard berkata, sepanjang tahun ini JKR Sabah hanya menerima peruntukan RM1 juta daripada Kementerian Kerja Raya berbanding RM13 juta yang dipohon, manakala RM2.5 juta diluluskan berbanding permohonan RM34 juta bagi membaiki kerosakan laluan Telupid-Beluran pada tahun lalu.

Loading...
Back to top