Ketua Kampung dipilih oleh pemimpin PH Labuan

LABUAN: Senarai calon Ketua Kampung baharu bagi Wilayah Persekutuan Labuan telah dicadangkan oleh ketua-ketua pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada PKR, Amanah, DAP dan juga Warisan.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Datuk Isli berkata, beliau hanya bertindak sebagai penyelaras sebelum senarai tersebut diserahkan kepada Pengerusi Perbadanan Labuan.

“Saya tidak terlibat langsung dalam proses pemilihan ketua kampung saya hanya menyelaras,” katanya ketika diminta mengulas mengenai senarai 27 Ketua Kampung baharu yang tular di media sosial baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, beliau telah memberikan pandangan supaya bakal ketua kampung yang dilantik adalah daripada mereka yang dapat diterima oleh penduduk kampung serta benar-benar layak untuk di angkat sebagai Ketua Kampung.

Rozman berkata, berdasarkan persetujuan awal oleh ketua parti-parti komponen Pakatan Harapan, pembahagian 27 Ketua Kampung dibuat berdasarkan sistem quota 9-9-8-1 yang telah dipersetujui melibatkan PKR, Amanah, Warisan dan DAP.

Katanya, 9-9-8-1 itu merujuk kepada 9 Ketua Kampung yang dipilih oleh PKR dan Amanah, manakala lapan Ketua Kampung pilihan dari parti Warisan dan seorang Ketua Kampung dipilih oleh DAP.

Namun, selepas senarai Ketua Kampung itu tular di media sosial pelbagai reaksi telah diterima oleh penduduk kampung yang tidak berpuas hati dengan senarai ketua kampung yang tular, malah sebahagian penduduk kampung telah membuat bantahan dan mahu nama yang dicadangkan itu di diganti dengan orang lain yang mendapat sokongan penduduk akar umbi tanpa mengira fahaman politik.

Difahamkan antara punca utama penduduk kampung membantah kerana nama yang dikemukakan itu bukan penduduk asal, tidak menetap di kampung tempat mereka dilantik dan faktor umur yang telalu muda selain ada di antara mereka yang tidak mesra penduduk.

Justeru itu, ramai daripada penduduk kampung dan bekas pemimpin masyaraka dan NGO setempat mahu perlantikan Ketua Kampung baharu itu dibuat melalui proses pemilihan secara terbuka selaras dengan manifesto parti Pakatan Harapan iaitu melakukan proses pendekmokrasian Malaysia Baharu.

Perlantikan Ketua Kampung baharu yang sepatutnya dilantik selepas Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kerajaan BN pada Mei lalu, namun sehingga kini jawatan Ketua Kampung baharu terus menjadi tanda tanya apabila sehingga kini jawatan tersebut belum dapat diputuskan.

New Sabah Times, 2 Januari 2019

Loading...
Back to top