KM tidak benarkan BERSATU ke Sabah kerana..

Kerajaan mahu beri tumpuan tadbir negeri dengan baik

KOTA BELUD: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata keputusan tidak membenarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melebarkan sayap di negeri ini bagi membolehkan kerajaan Sabah memberi tumpuan mentadbir negeri ini dengan baik.

Beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata keputusan itu diambil bukannya menunjukkan parti berkenaan tidak memberi kerjasama kepada Bersatu.

Beliau berkata Warisan sudah menjalin kerjasama dengan Bersatu sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas dan sejak dari awal lagi menyatakan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

“Saya juga ada pengalaman termasuk selama 30 tahun di beberapa kementerian di peringkat persekutuan ketika kerajaan sebelum ini, (sekarang) berilah saya peluang mentadbir Sabah yang kini baru masuk tujuh bulan” —Mohd Shafie Apdal, Kampung Taginambur 10 Jan 2019

Beliau berkata demikian pada Majlis sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2019 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian di Kampung Taginambur dekat sini, hari ini.

Hadir sama Anggota DUN Kadamaian yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Ewon Benedick.

Mohd Shafie berkata kerjasama dengan kerajaan persekutuan diteruskan selepas Warisan menerajui kerajaan baharu Sabah.

Beliau berkata kerajaan persekutuan juga memberi kerjasama baik kepada kerajaan negeri termasuk melantik beberapa menteri dan timbalan menteri persekutuan dari negeri ini, di kementerian penting.

Dalam pada itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan, Mohd Shafie berharap keputusan beberapa pemimpin dan wakil rakyat Umno dan Barisan Nasional Sabah keluar dari parti sebagai satu langkah baik.

“Sebagai pimpinan negeri, kalau boleh kita dapat bersatu di bawah kerajaan naungan yang ada. Kita juga sedar mereka mempunyai pendirian dan maruah tetapi apa yang penting kita saling bantu membantu untuk menjayakan agenda dan harapan rakyat,” katanya.

Justeru, beliau mempelawa mereka membuat keputusan bijak untuk bersama di bawah kerajaan sedia ada.

Loading...
Back to top