Kuala Penyu: Pemandu rentung dalam kemalangan

KOTA KINABALU: Seorang pemandu ditemui rentung apabila kenderaan dipandunya terbakar dalam kemalangan di Kampung Janang, Kuala Penyu, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Penyiasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Johari Dzulkifli berkata kejadian itu berlaku kira-kira 2.30 pagi Ahad, dan mayat yang rentung itu masih belum dikenalpasti.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan ini melibatkan sebuah kenderaan Proton Pesona yang dipercayai terbabas sehingga menyebabkan ia terbakar. Bomba juga mendapati tiada sebarang unsur khianat di sebalik kejadian ini dan hanya disebabkan oleh kemalangan biasa.

“Jika dilihat keadaan mangsa, dia seperti cuba untuk keluar daripada kenderaan itu tetapi tidak sempat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Johari berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2.38 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kuala Penyu bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera.

Menurutnya, pasukan forensik daripada Ibu Pejabat JBPM Sabah serta pasukan K9 daripada BBP Tuaran turut dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan mengenai punca kemalangan tersebut. – Bernama

Loading...
Back to top