Mayor baharu ikrar tingkat tadbir urus DBKK

KOTA KINABALU: Mayor Bandaraya Kota Kinabalu yang baharu Datuk Nordin Siman berikrar akan menerajui Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) ke arah tadbir urus lebih baik, berintegriti, cepat dan berhemah demi kesejahteraan rakyat berlandasarkan hala tuju kerajaan negeri.

Nordin berkata beliau akan memastikan DBKK menjalankan tanggungjawab berlandaskan aspirasi ‘Fast Forward: Effective and Efficient’ bagi memperkasa budaya kerja berprestasi tinggi bagi terus melonjakkan lagi reputasi dan kredibiliti DBKK sebagai perintis bandaraya bersih, hijau dan berdaya huni.

“Aspirasi ini akan memberi fokus kepada tiga golongan sasar iaitu masyarakat perniagaan; masyarakat sub-bandar; dan masyarakat secara keseluruhan termasuk penghuni bandaraya, pekerja, pelancong, golongan profesional dan semua lapisan masyarakat.

“Aspirasi ini pastinya selari dengan hala tuju serta misi melestarikan kemajuan dan kemakmuran rakyat dan negeri Sabah. Saya berjanji akan memberi perkhidmatan terbaik dan menerajui DBKK dengan tanggungjawab, integriti, profesionalisme dan berpaksikan rakyat,” katanya berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Mayor di sini, kelmarin.

Terdahulu, Nordin, 61, bekas Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah sejak 2007, menandatangani nota serah terima tugas dengan bekas Mayor Datuk Yeo Boon Hai disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Hashim Paijan sebelum menerima pakaian kebesaran daripada Yeo.

Yeo, 61, telah memegang jawatan sebagai mayor selama dua tahun 11 bulan dari 2 Feb 2016.

Nordin berkata DBKK adalah organisasi yang sentiasa dekat di hatinya kerana beliau adalah seorang daripada Ahli Lembaga Penasihat DBKK sejak 2010. – Bernama, 2 Januari 2019

Loading...
Back to top