Nordin Siman mulakan tugas Datuk Bandar Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Sabah, Datuk Nordin Siman, akan memulakan tugas sebagai Datuk Bandar Kota Kinabalu yang baharu berkuat kuasa 2 Januari ini.

Nordin, 61, mengambil alih tugas itu daripada Datuk Yeo Boon Hai, yang mengetuai Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sejak 2 Februari 2016.

Dalam ucapan sempena majlis serah terima tugas jawatan itu hari ini, Nordin berkata beliau bersama warga DBKK akan melipatgandakan komitmen untuk mencapai 34 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) DBKK yang ditetapkan.

“Saya akan memastikan pegawai dan kakitangan sokongan di DBKK bersedia bekerja dalam satu pasukan berprestasi tinggi, berilmu pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang sesuai untuk mencapai KPI yang ditetapkan,” katanya.

Yang turut hadir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Arifin Asgali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hashim Paijan dan Ketua Pengarah DBKK, Datuk Amrullah Kamal.

Nordin, yang bertugas selama 39 tahun dalam perkhidmatan awam dengan jawatan terakhir sebagai Pengarah JPA selama 11 tahun, berasal dari Kampung Lohan, Ranau. Beliau adalah Datuk Bandar Kota Kinabalu kelima.

Terdahulu, Boon Hai berkata tugas sebagai Datuk Bandar begitu mencabar, terutama dalam aspek kewangan terhad, tunggakan cukai pintu selain masalah kesesakan jalan raya, pengangkutan awam, setinggan dan gelandangan.

“Saya meminta pengurusan dan warga DBKK memberikan sokongan penuh kepada Datuk Bandar yang baharu, khususnya dalam menyelesaikan semua cabaran berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Hashim berkata tempat Nordin akan digantikan oleh Datuk Datu Rosmadi Sulai yang juga Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri.

“Ada beberapa jabatan dan kementerian melakukan pertukaran pegawai kanan termasuk DBKK; Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah; Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri; Jabatan Muzium; Kementerian Kewangan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri,” katanya.

Loading...
Back to top