Parti baharu wakili masyarakat India Sabah ditubuh

KOTA KINABALU: Bekas pemimpin MIC Sabah membentuk sebuah parti baharu dikenali Parti Bersatu India Sabah (PBIS) sebagai mewakili masyarakat kaum itu di negeri ini.

Presiden Penaja PBIS yang juga bekas Pengerusi MIC Sabah selama 23 tahun, Datuk V Jothi, ketika mengumumkan perkara itu berkata, permohonan untuk membentuk parti baharu itu sudah diserahkan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk kelulusan.

“Saya telah meletakkan semua jawatan dalam MIC pada Julai tahun lalu seterusnya pembubaran parti itu di Sabah selepas mengadakan mesyuarat dan menjemput semua pemimpin termasuk ketua bahagian dan cawangan MIC di seluruh negeri.

“Pada mesyuarat itu, mereka memaklumkan bahawa masyarakat India perlu ada platform atau sebuah parti baharu untuk mewakili kaum itu di Sabah. Oleh itu, kita membuat permohonan kepada ROS (menubuhkan PBIS) pada tahun lalu.

“Kita berharap usaha membentuk parti baharu ini berjalan dengan lancar,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Jothi berkata, parti baharu itu akan memberi kerjasama dan sokongan kepada kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita juga menyokong kerajaan negeri dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Saya meminta semua masyarakat India memberi sokongan kepada kerajaan hari ini,” katanya sambil menambah akan mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri apabila parti baharu itu sudah didaftarkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara objektif utama penubuhan PBIS antaranya untuk melindungi dan meningkatkan kepentingan masyarakat India dalam aspek ekonomi, politik, budaya, agama serta sosial di negeri ini.

Berita Harian, 6 Januari 2019

Loading...
Back to top