Pemandu Grab dilarang tunggu, cari penumpang

PUTRAJAYA – Pemandu kenderaan e-hailing atau Grab dilarang menunggu atau mencari penumpang ketika menjalankan perkhidmatan di mana-mana tempat termasuklah di lapangan terbang, kata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

JPJ dalam satu kenyatan hari ini berkata perkara itu termaktub di bawah syarat-syarat lesen pengendalian e-hailing yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Katanya pemandu e-hailing dikehendaki mematuhi salah satu daripada syarat perkhidmatan e-hailing iaitu pemandu hendaklah mengambil penumpang yang dilanggan melalui perkhidmatan atas talian mudah alih atau aplikasi yang disediakan oleh syarikat pengendali

“Mana-mana pemandu perkhidmatan e-hailing yang gagal mematui mana-mana syarat yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah peruntukan tersebut,” katanya.

JPJ berkata demikian bagi mengulas hantaran di Facebook berhubung dakwaan pemandu Grab disaman JPJ di bawah kesalahan menggunakan Lesen Kenderaan Moto kerana mengambil pelanggan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada Selasa lalu.

Bulan lalu, sekumpulan pemandu limosin melakukan tunjuk perasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dengan mendakwa pemandu e-hailing menjejas periuk nasi mereka.

Dalam kenyataan yang sama, JPJ berkata Kementerian Pengangkutan telah membuat pindaan undang-undang berkaitan pelaksanaan e-hailing di negara ini, yang meliputi pindaan terhadap beberapa kaedah seperti kaedah kenderaan motor (pembinaan dan penggunaan) 1959; kenderaan Perkhidmatan Awam (Pelesenan dan kelakuan Pemandu, Konduktor dan Penumpang 1959 dan kenderaan bermotor (pemeriksaan berkala, kelengkapan dan standard pemeriksaan) 1995.

Pindaan kaedah-kaedah itu sepatutnya berkuatkuasa pada 12 Julai tahun lepas, bagaimanapun kerajaan telah bersetuju memberikan tempoh satu tahun sehingga 12 Julai tahun ini kepada kesemua pengendali perkhidmatan e-hailing iaitu Grab untuk membuat persediaan, katanya.

Antara persediaan yang perlu dibuat pemandu e-hailing adalah untuk mendapatkan lesen memandu kenderaan perkhidmatan awam (PSV); lesen pengendali perkhidmatan e-hailing; dan menjalani pemeriksaan kenderaan di pusat pemeriksaan kenderaan (Puspakom). – Bernama, 3 Januari 2019

<

Loading...
Back to top