PH Labuan gesa segera perlantikan ketua kampung

LABUAN: Pakatan Harapan (PH) Labuan hari ini menggesa supaya dipercepatkan pelantikan 27 ketua kampung bagi kepentingan penduduk kampung terbabit.

Pengerusinya, Simsudin Sidek berkata senarai calon, yang dipersetujui oleh semua parti komponen PH dan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mesra PH, telah pun diserahkan kepada Perbadanan Labuan, sebuah agensi tempatan, untuk diperakukan.

“Kita mesti percepatkan pengumuman dan penyampaian surat pelantikan kepada ketua kampung baharu bagi kepentingan penduduk kampung. Sungguhpun sesetengah pihak menganggapkannya sebagai suatu kenyataan yang pahit untuk ditelan, kita mesti mengumumkannya juga,” katanya kepada Bernama.

Simsudin, yang juga Pengerusi PKR Labuan, menjelaskan bahawa pencalonan ketua kampung itu dibuat berdasarkan nisbah 10:8:8:1 iaitu 10 ketua kampung daripada PKR; lapan daripada Parti Amanah Negara (Amanah); lapan daripada Warisan dan seorang daripada DAP.

Ketua kampung daripada Barisan Nasional-UMNO berhenti daripada menjalankan tugas mereka selepas PH mengambil alih kerajaan pada Mei tahun lepas, mengakibatkan penduduk yang tinggal masing-masing di 27 kampung (tidak termasuk kawasan perumahan) ‘tanpa nakhoda”. Kontrak 27 ketua kampung itu tamat secara rasmi pada Oktober.

Sebulan sebelum penggal baharu persekolahan bermula dan sehingga hari ini, ramai penduduk, termasuk yang tinggal di taman perumahan, berdepan kesukaran untuk mendapatkan pengesahan ketua kampung bagi dokumentasi persekolahan.

Difahamkan bahawa kelewatan dalam memuktamadkan pelantikan ketua kampung dipercayai ekoran perselisihan pendapat dalam kalangan parti komponen PH berhubung beberapa nama yang dicalonkan, dengan penduduk di kampung tertentu tidak bersetuju dengan nama yang dicalonkan.

Difahamkan juga bahawa berlaku pertukaran nama calon pada saat akhir, mengakibatkan kelewatan dalam pelantikan.

Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Seri Amir Hussien berkata agensi itu masih memuktamadkan profil calon sebelum membuat keputusan akhir. – Bernama, 3 januari 2019

Loading...
Back to top