Putatan: 55 rumah musnah, 60 keluarga hilang kediaman

PUTATAN: Kira-kira 60 keluarga kehilangan tempat tinggal selepas 55 rumah di kawasan seluas empat hektar di Kampung Pasir Putih, di sini, musnah terbakar dalam tempoh kurang tiga jam petang Jumaat.

Beberapa kenderaan milik penduduk termasuk sebuah bas, dan tiga kereta pelbagai jenis turut terjejas berikutan tidak sempat diselamatkan.

Ketua Operasi Pegawai Kanan Penguasa Bomba II (PKPgB II) Hamsa Isnurdini berkata kejadian bermula kira-kira jam 12.50 tengah hari di sebuah rumah penduduk.

“Operasi pemadaman segera dilaksanakan oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang bagaimanapun beberapa minit selepas itu kita mendapatkan bantuan dari BBP Kota Kinabalu bagi melaksanakan kerja pemadaman di lokasi,” katanya.

Menurutnya kebakaran sukar untuk dikawal berikutan tekanan air pili bomba di kawasan berkenaan amat rendah tambahan pula keadaan struktur rumah yang dibina di situ sangat rapat antara rumah.

“Ketangkasan anggota kita bagaimanapun berjaya mengawal kebakaran jam 3.14 petang dan kita terpaksa mendapatkan bantuan kapasiti air sebanyak 20,000 liter dari BBP Lintas selain menghubungi Jabatan Air Daerah Penampang untuk bantuan air.

“Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya jam 4.32 petang dan tiada kecederaan serta kematian dalam kes ini,” katanya sambil menambah beberapa agensi lain termasuk Bomba Tentera Kem Lok Kawi, Polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Haris Ibrahim berkata 60 keluarga terjejas dan kerja menyelenggara mangsa terlibat giat dijalankan dan kesemua mangsa ditempatkan di Dewan Serbaguna Putatan dan Dewan Mini Putatan sebagai Pusat Penempatan Sementara (PPS).

“Siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca kejadian dan sebarang maklumat akan disalurkan dari semasa ke semasa,” katanya semasa dihubungi.

Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Uda Sulai yang turut berada di lokasi kejadian berkata pihaknya sedang mengambil inisiatif untuk menyenaraikan mangsa terlibat melalui agensi berkenaan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Proses mengenalpasti jumlah mangsa masih dijalankan sebelum melaksanakan beberapa inisiatif termasuk bantuan yang perlu diberikan kepada mangsa kebakaran,” katanya.

Uda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Petagas itu merakamkan penghargaan kepada pasukan bomba dan agensi terlibat termasuk masyarakat setempat yang banyak membantu mangsa kebakaran.

“Tekanan air mungkin rendah bagaimanapun usaha memadamkan kebakaran di kawasan seperti ini tidak mudah kebetulan angin kuat serta cuaca panas yang menambahkan lagi keadaan menjadi lebih teruk sehingga tidak boleh diselamatkan,” katanya.

Sehingga jam 6 petang Jumaat kerja memindahkan mangsa kebakaran ke dua PPS yang dibuka masih giat dijalankan.

MISI BELIA PRIHATIN
Loading...
Back to top