Tiga keluarga rayu rumah PPR

TAWAU: Tiga keluarga merayu diberi keutamaan untuk ditempatkan ke dalam Projek Perumahan Rakyat (PPR) kerana bimbang dengan nasib kediaman mereka yang seperti menanti masa untuk ‘ditelan bumi’.

Jurucakap pengadu, Sumarni Suaibu, 38, berkata kediaman yang didiaminya bersama 13 ahli keluarganya mengalami kerosakan dan terjejas semenjak kira-kira tiga tahun lalu.

“Rumah kami sudah rosak, tiang-tiang rumah semakin miring, atap juga ada yang terbuka, malah lantai konkrit terbongkar, dinding pula ‘menggelembung’ (bengkok dan terbuka).

“Kami tiga sekeluarga berkongsi satu rumah untuk berteduh semenjak 1993, namun kini kami khuatir keadaan keselamatan kediaman ini,” katanya kepada Utusan Borneo.

Sumarni yang ditemui di rumahnya di Kg Tanjung Batu Tengah, di sini, berkata rumah mereka didirikan di atas tanah sewa, iaitu, di kawasan paya dengan tanah timbus.

Menurutnya, rumah mereka didirikan di atas tanah sewa namun masalah timbul selepas sebuah projek pembinaan perumahan dijalankan bersebelahan tempat tinggal mereka.

“Kediaman kami mulai terjejas teruk selepas kerja pembinaan sebuah tapak perumahan berhampiran dimulakan semenjak kira-kira tahun lepas,” katanya.

Beliau juga enggan menyalahkan pemaju kerana pihak terbabit sudahpun membayar sejumlah wang ganti-rugi dan akur dengan perjanjian kontrak ditandatangani bersama.

Namun atas faktor kesempitan hidup, pihaknya merayu nasib mereka diberikan perhatian oleh kerajaan khususnya Majlis Perbandaran Tawau (MPT) untuk mendapatkan PPR.

“Jangankan membeli rumah baharu, kami juga tidak mampu menyewa rumah lain, tetapi berharap ihsan kerajaan untuk memberikan keutamaan kepada situasi yang dihadapi.

“Dua daripada kami warga emas, saya (pengadu) pula orang kelainan upaya, enam anak masih bersekolah dan hanya dua daripada kami yang sudah bekerja,” katanya.

Beliau akui sudah pernah membuat permohonan PPR tetapi belum pernah diluluskan dan terpaksa berhubung dengan wartawan sebagai ikhtiar mereka.

Utusan Borneo yang menghubungi Presiden MPT Alijus Sipil pula dimaklumkan bahawa permohonan Sumarni akan diberi keutamaan dan perhatian oleh pihak berkuasa tempatan.

“Kita akan menilai situasi kes pengadu, tetapi mereka perlu menulis surat permohonan terlebih dahulu dan memberi perincian mengenai keadaan yang mereka hadapi,” katanya. – UTUSAN BORNEO, 8 Januari 2019

Loading...
Back to top