Video Mangsa Culik Sah Dari Filipina – Omar

KOTA KINABALU: Polis mengesahkan video menunjukkan mangsa culik yang meminta pertolongan majikannya itu dihantar dari Filipina.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata pihaknya sudah berhubung dengan rakan sejawat di negara jiran bagi mengenalpasti sama ada video terbabit adalah benar atau sebaliknya.

“Kita sudah mendapatkan kesahihan mengenai video terbabit daripada rakan di Filipina dan ia adalah dihantar oleh pihak penculik kepada majikan mangsa insiden culik pertama tahun lalu pada September iaitu Samsul Sagunin.

“Video terbabit turut dipercayai sebagai strategi kumpulan penculik Abu Sayyaf untuk mendesak majikan mangsa membuat pembayaran wang tebusan sebanyak 4 juta Peso (RM400,000) dengan segera,” katanya.

Beliau berkata pihaknya kini giat menjalankan pemantauan serta siasatan terperinci terhadap pergerakan kumpulan penjenayah itu dan turut mendapat kerjasama daripada rakan sejawat di Filipina, termasuk berkongsi maklumat serta tindakan yang perlu dilaksanakan seterusnya.

Dalam pada itu, Omar tidak menolak kemungkinan ada dalang penculikan di antara 18 individu dikehendaki Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timus Sabah (Esscom) bagi membantu siasatan kes jenayah di Esszone.

“Kemungkinan besar dalang utama penculikan ini dilakukan salah seorang daripada individu dikehendaki dan siasatan terperinci terhadap suspek ini akan terus dijalankan bagi mendapatkan hasil siasatan sepenuhnya,” katanya.

Samsul antara empat lagi mangsa culik yang masih berada dalam tahanan kumpulan terbabit sejak dilarikan kumpulan culik selepas insiden tembakan di Pegasus Reef Kinabatangan pada 5 Disember dan 11 September tahun lalu.

Loading...
Back to top