Pengguna mahu Keretapi Beaufort-Tenom dinaiktaraf

Pengguna-Keretapi-Beaufort-Tenom-mahu-dinaiktaraf.jpg

PENUMPANG terpaksa duduk di lantai dan berdiri dalam kereta api dari Beaufort ke Tenom - UTUSAN BORNEO

BEAUFORT: Penumpang mahu kereta api yang menghubungkan Beaufort ke Tenom dinaiktaraf bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penggunanya sentiasa terjamin.

Mereka mahu kereta api yang menjadi pengangkutan awam utama itu bukan sahaja dinaiktaraf malah diganti baharu kerana keadaan fizikalnya agak teruk.

Kereta api dari Beaufort ke Tenom atau sebaliknya digunakan oleh semua pengguna termasuk pelajar, guru, peniaga, petani, kakitangan kerajaan dan swasta, penduduk kampung serta pelancong untuk berulang-alik dari kedua-dua destinasi.

“Malah kereta api itu jugalah digunakan untuk membawa jenazah atau pesakit dan ibu mengandung ke hospital berhampiran.

“Justeru itu, kami mahu kerajaan memberi perhatian yang serius berkaitan isu tersebut,”kata seorang penumpang yang hanya mahu dikenali sebagai Bernard, 47 tahun.

Tambah Bernard, setiap hari penduduk kampung menggunakan kereta api itu untuk pelbagai urusan sama ada di Beaufort mahupun Tenom.

Katanya, jika kereta api itu mengalami kerosakan, semua urusan akan tergendala dalam tempoh yang lama.

Pada 27 Julai lalu, kereta api dari Beaufort mengalami kerosakan di Batu 64 sebelum meneruskan perjalanan ke Saliwangan yang memaksa kira-kira 100 penumpang turun untuk menanti kereta api gantian dari Tenom.

Pada kebiasaannya kereta api akan bertukar di stesen Halogilat sebelum meneruskan perjalanan ke Tenom.

“Kami menaiki kereta api itu pukul 1.30 tengah hari dan dijangka sampai di Tenom pukul 4.30 petang. Oleh kerana ada kerosakan, kami hanya tiba di stesen kereta api Tenom kira-kira pukul 5.45 petang,”kata seorang lagi penumpang, Mohd Farid Kassim, 56.

Penumpang terpaksa bersesak-sesak dan duduk di lantai serta berdiri akibat jumlah penumpang yang ramai terutama pelajar yang baru balik dari sekolah di Beaufort pada sebelah tengah hari.

Keadaan tidak selesa itu terpaksa dihadapi penumpang berikutan ketiadaan kipas angin dan tandas yang kurang sesuai.

“Penumpang tetap sudah biasa dengan keadaan ini termasuk rosak di tengah penjalanan. Kami terpaksa hadapi masalah itu saban tahun,”katanya.

Pada setiap hari dari Isnin hingga Ahad, penumpang akan menaiki kereta api dari Beaufort pada pukul 7.50 pagi dan 1.30 tengah hari manakala dari Tenom pukul 7.30 pagi dan 1 tengah hari dengan kadar tambang sebanyak RM2.75 seorang.

Pihak berkuasa juga menyediakan kereta api yang dikenali sebagai ‘School Train’ untuk kemudahan pelajar ke sekolah seawal pukul 5 pagi.

Penumpang bukan mahu kereta api mereka sama dengan LRT di Kuala Lumpur tetapi cukuplah seperti kereta api dari Beaufort ke Kota Kinabalu yang lebih moden dan selesa.

“Kami tiada pilihan untuk berulang-alik dari Beaufort ke Tenom. Tindakan sewajarnya perlu dilakukan sebelum kejadian tidak diingini berlaku sehingga meragut nyawa pengguna pengangkutan awam itu,”kata Alice, 16 dari Beaufort.

Penumpang kereta api itu yang terdiri daripada bayi hinggalah kepada warga emas kelihatan tenang menghadapi kerosakan yang berlaku kerana mereka tiada pilihan untuk berulang-alik dari Beaufort ke Tenom dan sebaliknya.

Loading...
scroll to top