Gambaran Negatif Terhadap Pesta Kaamatan

Tohmahan: “Memandangkan ekstremisme agama menghentam perayaan bir di Kuala Lumpur, mungkin perayaan budaya seperti Pesta Kaamatan di Sabah nanti diharamkan kerana minuman wain beras adalah (sinonim) sebahagian daripada program”._Chan Foong Hin (Setiausaha DAP Sabah), Free Malaysia Today, 1 Oktober 2017.

Jawapan:

Kenyataan di atas memberi gambaran negatif kepada Pesta Kaamatan seolah-olah ianya adalah masa untuk bermabuk-mabukan. Ianya juga memberi gambaran bahawa golongan muslim dan kerajaan bersikap radikal terhadap sambutan kebudayaan di Malaysia.

Pesta Kaamatan bukan sekadar “Aramaitii”, bukan hanya mempersembahkan tarian tradisi etnik, pertandingan Unduk Ngadau, pertandingan sugandoi, pameran makanan serta sukan tradisi.

Sebaliknya Pesta Kaamatan adalah pesta untuk menghargai para petani dan pesawah yang telah bertungkus lumus serta berpenat lelah untuk menuai dan mengumpul hasil tuaian padi sebagai satu kesinambungan hidup di bumi bertuah.

Lebih dari tu, Pesta Kaamatan sebenarnya dapat meningkatkan pemahaman dan semangat persahabatan antara rakyat pelbagai latar belakang agar saling menghormati kepercayaan, kebudayaan dan adat masing-masing. Ianya dapat dilihat melalui temanya yang menjurus kepada nilai-nilai  murni.

Sekadar menyenaraikan beberapa tema: Kaamatan Dasar Perpaduan (2017), Keamanan dan persahabatan (2016), Keamanan Dan Perpaduan melalui kebudayaan (2015), Kebudayaan Asas Keamanan dan Persahabatan (2014), Kekalkan semangat muhibbah dan persefahaman melalui kaamatan (2013).

Tema-tema sambutan Pesta Kaamatan di atas jelas menunjukkan bahawa ianya merupakan jambatan kepada perpaduan dan permuafakatan masyarakat majmuk di Sabah khasnya dan Malaysia amnya. Ini terbukti bahawa Pesta  Kaamatan menjadi wadah perpaduan sejak ia disambut secara rasmi pada tahun 1960 setelah diperakukan oleh pihak British yang mentadbir Sabah atau Borneo Utara pada masa itu.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata kerajaan akan terus menyokong dan menggalakkan sambutan pelbagai perayaan tradisi dan keagamaan oleh pelbagai etnik dan anutan agama di Sabah kerana ia salah satu lambang perpaduan rakyat negeri ini.

Menurut beliau, sambutan Pesta Kaamatan tidak pernah gagal menyerlahkan keunikannya serta sokongan padu dari rakyat Sabah. Ianya dimeriahkan lagi dengan penyertaan seluruh rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang, kaum dan juga agama. Inilah kelebihan dan keunikan yang menjadi kehairanan dan kekaguman orang-orang luar terhadap rakyat Sabah.

Diperingkat Negeri, tarikh 30 dan 31 Mei setiap tahun adalah cuti umum dan Kerajaan menerusi Pejabat Daerah dan KDCA menganjurkan sambutan Pesta Kaamatan di daerah-daerah di seluruh negeri.

Di peringkat Nasional, Seiring dengan konsep merakyatkan perkhidmatan awam dan 1Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju bahawa mulai tahun ini (2017), pegawai kelahiran Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak yang berkhidmat di Semenanjung Malaysia dibenarkan mengambil satu hari cuti tanpa rekod untuk menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

Artikel Sumbangan Pembaca
Loading...
scroll to top