Kenang Jasa Tun Mustapha Cara Yang Betul

Allahyarham-Tun-Mustaph.jpg

Allahyarham Tun Mustapha

Sungguhpun telah meninggal dunia lebih 20 tahun, Allahyarham Tun Mustapha masih berpengaruh dan mempunyai ramai pengikut di Sabah.

Tak heranlah, sejak kebelakangan ini namanya kembali disebut untuk meraih simpati dan sokongan rakyat. Namanya dijadikan sebab dan alasan kenapa mereka menentang pucuk pimpinan kerajaan dan UMNO.

Keluarlah ayat2 retorik konon untuk membela dan mencari keadilan untuk Tun Mustapha. Mereka kata Bapa Kemerdekaan Sabah itu telah tertipu dan teraniaya oleh Kuala Lumpur setelah Allahyarham membawa UMNO masuk ke Sabah.

Pengorbanan Tun Mustapha memang amat besar. Sanggup membubar parti USNO untuk memberi laluan kepada UMNO masuk ke Sabah tetapi dirinya tersingkir dari parti itu.

Sebaik sahaja Tun Ghaffar Baba berundur dan bersara selepas pemilihan UMNO 1993, Tun Mustapha yang memegang jawatan Timbalan sepatutnya dilantik menggantikan Pak Ghaffar sebagai Pengerusi Perhubungan Negeri tetapi Kuala Lumpur telah memilih Tun Sakaran Dandai.

Apapun orang kata, Tun Mustapha seorang pemimpin yang berjasa kepada Sabah terutama kepada politik orang Islam. Beliau meletakkan foundation atau asas yang kukuh sehingga membolehkan bumiputera Islam kembali mengetuai pucuk pimpinan negeri hari ini.

Setelah USNO kalah pada 1976, Tun Mustapha cuba bangkit pada pilihan raya 1981, 1985, 1986 dan 1990 untuk meletakkan USNO kembali berkuasa, tetapi beliau gagal. USNO tidak mampu bersaing dengan parti Berjaya dan kemudiannya PBS.

Hari ini walaupun Tun Mustapha tiada dalam kapal besar UMNO namun kapal besar itu telah berjaya menjadi bahtera perjuangan bumiputera Islam Sabah dan telah dapat menyatukan rakyat berbilang kaum di negeri itu.

Kapal besar UMNO telah berjaya dikemudikan dengan baik oleh pemimpin-pemimpin Bumiputera Islam selain dirinya termasuk anak didik Tun Mustapha sendiri seperti Datuk Seri Musa Aman.

Parti PBS dan Pairin yang satu ketika menjadi saingan utama telah kembali menyertai BN dan menerima pemimpin UMNO sebagai ketua di Sabah.

Orang-orang yang menjual nama Tun Mustapha untuk meraih simpati rakyat melawan UMNO sepatutnya bertanya soalan kepada diri mereka, “Mampukah orang Islam berkuasa selama 25 tahun jika Tun Mustapha tidak membawa UMNO masuk ke Sabah?”

Mungkin Tun Mustapha telah tertipu dan terpedaya oleh politik Kuala Lumpur. Mungkin politiknya telah dikorbankan. Tetapi perjuangan dan keikhlasannya terhadap perjuangan rakyat Sabah khususnya terhadap politik orang Islam telah berjaya mencapai matlamat.

Hakikatnya Tun Mustapha bukan sahaja mengorban harta benda dan wang ringgit untuk meletakkan foundation yang kukuh untuk politik bumiputera Islam sejak penubuhan USNO tetapi juga sanggup mengorbankan politik peribadi demi survival bangsa dan agamanya.

Saya berharap jasa Tun Mustapha dikenang dalam konteks itu. Bukan mengenangkan nasib yang menimpa dirinya tetapi mengenangkan perjuangannya meletakkan politik orang Islam pada kedudukan sekarang…

Itulah legasi sebenar perjuangan Tun Mustapha. Alfatihah..

Menarik untuk dibaca:

“Apakah peranan Musa membatalkan proposal itu, antara sebab Tun Mahathir memilihnya menjadi KM Sabah?” Pertama kali saya bertanya. “Mungkin juga itu salah satu faktor” jawapnya ringkas.

Musli Oli

Musli Oli

Penulis Politik Bebas. Saya Menulis Untuk Rakyat BUKAN Untuk Mana-mana Parti Politik. "Dilema Sabah" Buku Tulisan Untuk Memberi Kesedaran Kepada Semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top