Latar Belakang Penubuhan Malaysia

Latar-Belakang-Penubuhan-Malaysia.jpg

Latar Belakang Penubuhan Malaysia

LATARBELAKANG PENUBUHAN MALAYSIA

SEBELUM penubuhan Malaysia dicadang dalam bulan Mei 1961, kebanyakan penduduk Tanah Melayu dan Singapura tidak tahu dan tidak mengambil tahu keadaan negeri-negeri di Borneo itu. Mungkin yang tahu sedikit berpendapat negeri-negeri Borneo sama dengan Tanah Melayu sebelum merdeka dulu, cuma ia masih mundur.

Borneo Utara dan Sarawak adalah negeri dibawah pentadbiran kompeni sebelum menjadi jajahan British dalam tempuh yang singkat. Sarawak dibawah Rajah Brooke, manakala Sabah dibawah pengurusan North Borneo Company. Berbeza dengan Brunei yang mempunyai institusi Kesultanan Melayu semenjak beberapa lama dan negara itu lebih maju kerana kekayaan minyak diteroka lebih awal.

Penubuhan Malaysia boleh membantu mempercepatkan kemerdekaan negeri-negeri Borneo dan Singapura. Walaupun tiada hubungan etnik antara Tanah Melayu, Singapura dan negeri-negeri Borneo namun ia berkongsi kepentingan bersama iaitu soal keselamatan.
Ucapan Perdana Menteri Singapura;

“……Tanah Melayu lebih mementingkan masalah keselamatan. Tengku berkata bercantum dengan Singapura adalah penting kerana ditakuti komunis akan menjadikan Singapura sebagai tapak gerakan menentang Kerajaan Persekutuan”

Persamaan negeri-negeri Borneo dengan Tanah Melayu hanyalah dari segi system pentadbiran. Bagaimanapun kedua-dua negeri Borneo hanya menjadi tanah jajahan British selepas Perang Dunia Kedua iaitu pada 1946. Sedangkan negeri-negeri Tanah Melayu telah jadi jajahan Inggersi sejak 1896 lagi. Negeri-negeri Borneo dibahagikan kepada beberapa bahagian pentadbiran: division atau residencies. Sarawak dibahagikan kepada lima bahagian dan Sabah kepada empat bahagian, masing-masing diketuai seorang Residen.

Dalam tiap bahagian terdapat beberapa daerah atau jajahan diketuai seorang pegawai daerah bagi tiap-tiap satunya. Daerah-daerah itu dibahagikan kepada kawasan-kawasan kecil yang disamakan dengan mukim di negeri-negeri Tanah Melayu. Disamping itu ada ketua-ketua kampong dan ketua-ketua kaum yang bertanggungjawab kepada pegawai daerah yang pegawai daerah seterusnya bertanggungjawab kepada Residen.

Persamaan latarbelakang itu boleh menjadi asas yang baik kepada penubuhan Malaysia. Tetapi persamaan itu cuma dari segi latarbelakang secara am sahaja, kerana banyak perbezaan dari segi politik, aspirasi rakyat, ekonomi, dan kepentingan suku-suku kaum yang mendiami negeri-negeri tersebut. Sungguhpun bumiputera kedua negeri adalah serumpun dalam nusantara, atau mungkin berasal dari daerah dan kawasan yang sama tetapi kerana perpisahan begitu lama telah membentuk budaya dan cara hidup yang berbeza. Makanya ketara perbezaan dari segi nilai-nilai dan sikap dengan penduduk Melayu Tanah Melayu walaupun agama yang sama.

Walaupun ada perbezaan, bumiputera dan orang Melayu dari kedua negeri seharusnya mempunyai hak dan keistimewaan yang sama seperti orang Melayu di Tanah Melayu kerana mereka adalah penduduk asal di Borneo. Hak itu diakui British dan mestilah diberi pertimbangan bila percantuman dilakukan nanti. Maka itu tidak timbul soal tuntutan persamaan hak antara Melayu dan bumiputera yang akan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Masalah yang berlaku kemudiannya bukan soal hak dalam perlembagaan tapi soal politik dan kepimpinannya. Hakikatnya, penubuhan Malaysia bukanlah semudah seperti yang dijangkakan.

North Borneo (Sabah)
Sabah telah berada dibawa kesultanan Sultan Brunei dan Kesultanan Sulu. Sebelum Belanda bertapak di Betawi dan Portugis di Melaka, Sabah dan Sarawak kerap dilawati kapal-kapal dagang dari Portugis, Sepanyol, Inggeris dan Belanda. Sebab itu sejarah penempatan Cina di Borneo lebih awal berbanding dengan Cina di Tanah Melayu yang hanya dibawa masuk awal 1920an. Tetapi setelah penempatan Belanda di Betawi dan Portugis Melaka, Portugis dan Belanda yang berkuasa pada masa itu memaksa kapal-kapal itu hanya singgah di Melaka atau Betawi. Tindakan itu telah mengganggu kemajuan perdagangan di Borneo.

Pada tahun 1877, dua orang peniaga Gustavus Baron de Overbeck dan Alfred Dent yang kemudiannya amenjadi wakil kepada syarikat Perniagaan British North Borneo Trading telah mendapat tanah di Borneo Utara daripada Sultan Abdul Mumin, Raja Brunei. Pada bulan Januari 1878, juga mendapat tanah daripada Sultan Jamal al-Alam, Raja Sulu. Kedua-dua sultan telah memberi kuasa memerintah di Borneo Utara kepada mereka.

Pada tahun 1881, kerajaan Inggeris memberi atau meluluskan piagam kepada Syarikat North Borneo dengan syarat syarikat itu kekal menjadi milik British. Syarikat hendaklah berusaha menghapus hamba abdi, menjalankan tanggungjawab social menjaga keadilan sesuai dengan adat tempatan dan tidak mencampuri adat-istiadat dan agama penduduk tempatan.

Sabah dan Sarawak menjadi tanah jajahan atau dibawah perlindungan Crown Colony selepas Perang Dunia Kedua. Disebab di bawah pemerintahan syarikat bukan kerajaan British, Sabah dan Sarawak masih jauh ketinggalan dalam bidang politik dan ekonomi berbanding dengan Tanah Melayu dan Singapura.
Selepas Tunku Abdul Rahman mencadangkan penubuhan Malaysia pada 27 Mei 1961, perkembangan politik menjadi hangat. Cadangan itu menjadi perbincangan dan perbualan hangat di kedua-dua negeri.

Sebelum dibawah tanah jajahan British, Sarawak dibawah pemerintahan Brooke dan telah ujud Perlembagaan Brooke tetapi Sabah tidak mempunyai perlembagaan dalam masa pemerintahan North Borneo Chartered Company. Syarikat itu lebih pentingkan keuntungan. Anak-anak negeri tidak diberi peluang dalam pemerintahan seperti di Sarawak dan Tanah Melayu.

Walaupun satu Majlis Perundangan ditubuhkan pada 1912, yang terdiri daripada 7 orang ahli rasmi dan 4 orang ahli tidak rasmi, namun tidak seorangpun anak tempatan atau bumiputera yang menjadi ahli. 4 orang ahli tidak rasmi itu di wakili kaum Cina, seorang mewakili golongan peniaga, dan setiap satu mewakili golongan petani di pantai timur dan barat. Atas sebab itulah perkembangan politik dan ekonomi Sabah jauh lebih mundur dan terkebelakang.
Apabila Sarawak menjadi tanah jajahan British pada 1946, system pentadbiran disusun semula seperti berikut:-

a. Bahagian Satu – Pusat pentadbiran Kuching
b. Bahagian Dua – Pusat pentadbiaran Simanggang
c. Bahagian Tiga – Pusat pentadbiran Sibu
d. Bahagian 4 – Pusat pentadbiran Miri
e. Bahagian 5 – Pusat pentadbiran Limbang

Residen mengetuai setiap bahagian dan bahagian-bahagian dibahagi kepada deerah-daerah diketuai Pegawai Daerah. Setiap daerah dibahagi kepada daerah-daerah kecil diketua Penolong Pegawai Daerah.

Pada masa cadangan Malaysia dikemukakan Sarawak mempunyai system kerajaan yang dipilih melalui tiga peringkat (three-tier of indirect election). Penduduk-penduduk tempatan memilih wakil-wakil Majlis Daerah secara undi sulit, kemudiann ahli-ahli berkenaan memilih dikalangan mereka wakil-wakil ke Majlis Penasihat Bahagian yang kemudiannya memilih 20 orang ahli ke Majlis Negeri di Kuching.

Perkembangan politik di Sabah juga hampir sama dengan Sarawak. Setelah jadi tanah jajahan pada 1946, Sabah dibahagi kepada 4 kawasan pentadbiran dipanggil residensi:

a. Residensi Pantai Barat – Pusat pentadbiran Kota Kinabalu
b. Residensi Pedalaman – Pusat Pentadbiran Labuan (Keningau selepas 1955)
c. Residensi Sandakan – Pusat pentadbiran Sandakan
d. Residensi Tawau – Pusat pentadbiran Tawau

Setiap residensi diketuai seorang Residen dan setiap daerah diketuai Pegawai Daerah yang dibantu Penolong Pegawai Daerah. Disamping itu ada ketua-ketua kaum yang mengawal hal-ehwal adat istiadat bumiputera dan mereka bertanggungjawab kepada Pegawai Daerah.

Perkembangan kerajaan Tempatan di Sabah adalah mencontohi Sarawak. British di Sabah telah menubuhkan Pihak Berkuasa Tempatan yang pertama di Kota Belud pada 1952. Sipitang pada 1955. Ia kemudiannya dikenali sebagai Majlis Daerah tapi hanya diberi kuasa-kuasa yang terhad. Menjelang tahun 1961 semua 4 residensi mempunyai Majlis Daerah masing-masing.

Kesimpulannya menjelang 1961 sewaktu cadangan penubuhan Malaysia, dapat dikatakan telah wujud system pentadbiran di Sabah dan Sarawak. Tetapi ini bukan bermakna negeri-negeri itu telah mempunyai kerajaan sendiri atau telah bersedia untuk merdeka disbanding dengan Tanah Melayu yang telah 4 tahun merdeka. Manakala Singapura dan Brunei telah diberi taraf dan status berkerajaan sendiri oleh British pada 1959. Itu mengesahkan kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak masih jauh tertinggal di belakang dalam semua aspek termasuk pentadbiran, social dan ekonomi.

Dalam masa yang sama belum timbul kesedaran politik. Penduduk di kedua negeri nampaknya telah berpuas hati di bawah pentadbiran British. Ia mungkin berpunca daripada kurangnya pendedahan politik dan kurangnya pemimpin-pemimpin yang kerkebolehan disamping sebahagian besar penduduk masih buta huruf dan tidak faham pun konsep merdeka dan berkerajaan sendiri.

Berpolitik adalah satu perkara baru di negeri-negeri Borneo. Sewaktu Tunku umum cadangan Gagasan Malaysia, terdapat hanya tiga buah parti politik yang berdaftar di Sarawak dan Brunei. Dua di Sarawak dan satu di Brunei. Parti politik Sabah yang pertama, United National Kadazan Organization (UNKO) oleh Donald Stephens hanya ditubuhkan 3 bulan selepas cadangan Malaysia iaitu bulan Ogos 1961.

Parti politik pertama Sarawak ialah The Sarawak United Peoples Party (SUPP) pada Jun 1959. Majority ahli adalah orang Cina termasuk sedikit Iban, Dayak dan kaum pribumi lain. Parti kedua ialah Parti Negara Sarawak (PANAS) pada April 1960. Sebahagian besar ahli adalah orang Melayu, Iban, Dayak dan sedikit pribumi lain.
Kedua-dua parti mendakwa berjuang untuk perpaduan kaum, pemerintahan demokrasi dan memelihara hak-hak bumiputera. Sebuah parti politik tertubuh di Brunei ialah Parti Rakyat yang didaftar awal tahun 1961. Matlamat Parti Rakyat untuk menubuhkan sebuah kerajaan Kalimantan Utara dengan gabungkan semua bekas tanah jajahan yang pernah dibawah kuasa Kesultanan Brunei. Bagaimanapun selepas pemberontakan tahun 1962, parti itu diharamkan kerajaan Brunei.

Dengan perkembangan politik di Borneo dan kebimbangan Tanah Melayu terhadap Singapura yang akan jatuh kepada pengaruh kominis, Tunku kemukakan cadangan penubuhan gagasan Malaysia. Tunku lahirkan kebimbangan, jika Singapura dibenarkan menuntut kemerdekaan dengan gerakan labour union yang begitu berpengaruh serta dipengaruhi anasir kominis, Singapura akan jadi ancaman kepada Persekutuan Tanah Melayu jika dibiarkan bersendirian.

Selepas cadangan penubuhan Malaysia lebih banyak parti-parti politik muncul di Sabah dan Sarawak. Di Sarawak Parti Kebangsaan Sarawak atau SNAP dan Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA). Di Sabah, Tun Mustapha bin Datu Harun menubuhkan USNO, GSSundang dan Sedomon menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Pasok Momogun (Pasok-Momogun), Parti Demokrat (DP), Parti Bersatu (UP) dan Parti Liberal (LP).
Gagasan Malaysia

Penyatuan Tanah Melayu dan tanah-tanah jajahan British di Asia Tenggara pernah dicadangkan sebelumnya. Pada mulanya dikemukakan Lord Brassey, seorang Pengarah Syarikat British Borneo Utara mencadang penggabungan untuk menjadi sebuah koloni yang lebih besar. Cadangan itu bagaimanapun ditolak pemegang-pemegang saham kompeni pada 1894. Kemudian timbul cadangan daripada Malcolm MacDonald, PesuruhJaya Agung British di Asia Tenggara, tetapi penyatuan itu tidak mendapat perhatian akibat berlakunya peperangan di Eropah dan kemudiannya merebak ke Asia.

Dalam perkembangan politik selepas merdeka, Tanah Melayu merasa terlalu kerdil di kellilingi negara-negara jiran yang telah lama merdeka seperti India, Thailand, Burma, Indonesia dan Filipina. Dalam masa yang sama ada usaha pihak kominis China memperluaskan wilayahnya. Teori domino disebut-sebut akan berlaku dan ia menimbulkan kebimbangan kepada kepimpinan Tanah Melayu.

Pada 27 Mei 1961, Tunku membuat cadangan dalam satu majlis makan tengah hari yang diadakan Persatuan Penulis-Penulis Luar Negeri Asia Tenggara di Singapura. Tunku menyatakan cadangan “Tanah Melayu mengadakan persefahaman dengan Britian dan rakyat-rakyat di wilayah Singapura, Borneo Utara, Brunei, dan Sarawak dan satu rancangan hendaklah diadakan untuk merapatkan lagi perhubungan wilayah-wilayah ini dalam politik dan kerjasama ekonomi”

Kedudukan Singapura amat penting kepada Tanah Melayu dan Singapura amat bergantung dalam serba serbi kepada Tanah Melayu tetapi British ingin mengekalkan Singapura sebagai entity berkecuali daripada Tanah Melayu kerana strategi keselamatan dan ketenteraan. Sebab itu Singapura tidak dimasukkan dalam penyatuan negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Singapura tidak dimasukkan dalam rancangan Malayan Union (1946) dan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu (1948) yang menggabung Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat, dimana termasuk Singapura.

Dalam pada itu British tidak boleh mengekalkan Singapura dan negeri-negeri jajahannya selama-lama kerana telah mula ada kesedaran di negara-negara Asia dan Afrika untuk membebaskan diri dari penjajahan selepas Perang Dunia Kedua. Disamping PBB pada 1960 telah meluluskan resolusi 1514 (XV) untuk memberi kemerdekaan kepada tanah-tanah jajahan dan menentukan nasib rakyatnya.

Berpandukan ketetapan PBB itu British tiada pilihan tetapi memberi kemerdekaan kepada tanah-tanah jajahannya. Singapura yang telah diberi status berkerajaan sendiri pada 1959, lambat laun akan menuntut kemerdekaan sepenuhnya dari British. Lagipun telah ada persetujuan dalam perjanjian kerajaan sendiri untuk mengkaji kedudukan Singapura pada 1963.

Memang terpendam hasrat Singapura dan Tanah Melayu untuk bersatu kerana percantuman itu akan memberi faedah kepada kedua-dua negeri itu. Tetapi Tanah Melayu terpaksa melupakan hasrat itu untuk sementara waktu kerana bimbang ketidakseimbangan kaum akan berlaku anatara orang Melayu dan orang Cina.

Andaikata berlaku percantuman, bilangan penduduk Cina akan mengatasi jumlah bilangan penduduk Melayu yang sudah pasti akan menimbulkan masalah kepada kuasa politik bangsa Melayu. Yang paling membimbangkan Tanah Melayu dengan percantuman itu akan membawa masuk sebahagian besar orang Cina dari Singapura yang menyokong Kominis China dan berfahaman kominis. Kemungkinan-kemungkinan seperti ini sukar diterima Tanah Melayu yang pernah mengalami keganasan kominis di Tanah Melayu selama 12 tahun semasa darurat.

Dalam masa yang sama jika Tanah Melayu membiarkan Singapura bersendirian mencapai kemerdekaan di luar Tanah Melayu, ini juga membuka ruang seluas-luasnya kepada anasir kominis untuk bertapak di Singapura. Sudah pasti mengikut teori domino, kominis akan mengancam kedudukan Tanah Melayu jika ini berlaku.
Pada 16.10.1961 dalam ucapannya di Dewan Rakyat untuk meminta sokongan dewan terhadap cadangan penubuhan Malaysia, Tunku berkata:

“ While Singapore is under the British, we feel that there is no threat of open action by the Communists which might endanger the peace and security of the Federation, but with an independent Singapore, anything could happen…….”

Dengan perkembangan itu tiada pilihan lain untuk mengekalkan keselamatan, kestabilan politik dan ekonomi Malaya melainkan mengadakan kerajasama dengan Singapura. Pada pandangan Tunku itulah pilihan terbaik.

Bagaimana dengan masalah perseimbangan kaum?

Jawapannya dengan memasukkan semua negeri-negeri di Borneo ke dalam persekutuan baru yang dicadangkan itu. Tanpa negeri-negeri Borneo bilangan orang Cina adalah 43.5% manakala bilangan orang Melayu adalah 43.0% sahaja, sedangkan di Tanah Melayu sahaja rationya kira-kira 50.6% Melayu dan 36.9% Cina.
Ketidakseimbangan kaum itu akan dapat diatasi dengan mengambil kira bilangan bumiputera dari Borneo yang sama seperti orang Melayu. Dengan menjumlahkan bumiputera dari Borneo dan Melayu di Tanah Melayu, jumlahnya pasti akan mengatasi bilangan orang Cina.

Dalam hubungan ini tidak salah hujah yang mengatakan penubuhan Malaysia dibuat tergesa-gesa untuk mencari penyelesaian terhadap masalah Singapura kerana percantuman dengan negeri-negeri Borneo bukanlah sesuatu yang perlu disegerakan.

Sunggupun ada ancaman daripada Komunis China dan gerakan daripada Partai Kominis Indonesia (PKI) terhadap negeri-negeri Borneo serta hasrat Sukarno untuk menubuhkan negara yang lebih besar Indonesia Raya, belum ada insiden pengaruh-pengaruh itu sampai ke bumi Borneo. Tambahan pula belum ada kesediaan dan hasrat penduduk negeri-negeri Borneo untuk memerintah sendiri walaupun ada keperluan British untuk berbuat demikian.

Hakikatnya pada pandangan British, keperluan memberi kemerdekaan kepada negeri-negeri Borneo bukanlah sesuatu yang mendesak, akan tetapi melihat kepada keadaan Singapura dan keperluan politik Tanah Melayu, percantuman itu mesti disegerakan.

Akhirnya British telah bersetuju dengan cadangan Tunku untuk menubuhkan Persekutuan Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, dengan negeri-negeri Borneo dan ‘……Singapore is joined in partnership on a footing something like that which exist between the United Kingdom and the Northern Ireland” (ucapan Tunku dalam Dewan Rakyat)

Di London, pada 20 Jun 1961, dipetik dari majalah The Times, Perdana Menteri Britian, Harold MacMillan semasa menjawab soalan, mengatakan cadangan Tunku sebagai cadangan yang membina. Ekoran daripada itu pada 26-27 Jun 1961 gabenor-gabenor British di Sarawak, Sir Alexander Waddel, gabenor Sabah, Sir William Goode dan Pesuruhjaya British di Brunei D.C White mengadakan rundingan dengan Pesuruhjaya Agung British bagi Asia Tenggara, Lord Selkirk di Singapura. Selepas itu Selkirk menyampaikan hasil perbincangan mereka mengenai penubuhan Malaysia ke London pada awal bulan Julai.

Dalam negeri, di Tanah Melayu parti-parti politik seperti PAS mengkritik keras cadangan Tunku kerana Tunku tidak berbincang dan berunding dengan pemimpin-pemimpin politik Tanah Melayu sebelum kemukakan rancangannya. Parti Buruh pula berpendapat percantuman Tanah Melayu dan Singapura dibuat terlebih dahulu sebelum membawa wilayah-wilayah Borneo ke dalam Persekutuan. Parti politik lain seperti MCA, Workers Party dan Liberal-Socialist Party menyatakan sokongan.

Dipetik dari buku DILEMA SABAH

Loading...
Musli Oli

Musli Oli

Penulis Politik Bebas. Saya Menulis Untuk Rakyat BUKAN Untuk Mana-mana Parti Politik. "Dilema Sabah" Buku Tulisan Untuk Memberi Kesedaran Kepada Semua.

scroll to top