NEGERI KU YANG KAYA RAYA….OH NOSTALGIA..

SMS News Portal

Bangunan Yayasan Sabah

Sebelum Perang dunia kedua, Sabah dibawah pentadbiran sebuah syarikat berpiagam.  Agnes Newton Keith, penulis terkenal dengan bukunya “The Land Below The Wind”, (Agnes Newton Keith, 1939) menjelaskan  “North Borneo is the a British Protectorate which is administered by a Governer  and  Civil Service appointed by British North Borneo (Chartered) Company. And it is the sole remaining country in the British Empire to be administered by a chartered company.”

“North Borneo was the only country in the world administered by a chartered company”.  The Chartered Company administration was zealously  watch by the British Government dan its Parliament, who expected it to always rise to the occasion and discharge its duties of the administration in the spirit which animated the British Government throughout its Empire.

Alangkah bertuahnya dilahirkan di bumi yang dilimpahi dengan kekayaan sumber alam yang melimpah ruah. Sabah negeri yang kaya. Penduduk Sabah telah menerima bantuan tunai dari kerajaan Negeri kira-kira 40 tahun sebelum BR1M diperkenalkan kerajaan Persekutuan. Semua rakyat yang berumur 21 tahun semua berhak mendapat Amanah Tun Mustapha atau Amanah Yayasan Sabah, tanpa ambil kira berapa pendapatan mereka.

Negeri Sabah merupakan negeri pertama di Malaysia memberi bantuan makanan tambahan seperti susu percuma kepada murid-murid sekolah rendah melalui Yayasan Sabah. Negeri pertama memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar menengah rendah yang mendapat keputusan cemerlang untuk menyambung pelajaran di tingkatan 1 hingga ke peringkat Universiti di Semenanjug dan luar negara melalui skim Biasiswa Yayasan Sabah.

Bila saya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan STP/HSC sebagai pelajar terbaik negeri Sabah pada 1978, saya mendapat  tiga tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran di Universiti Malaya. Saya tidak pernah memohon. Saya hanya dihubungi melalui surat untuk mendapatkan persetujuan saya. Kerajaan negeri menawarkan Biasiswa Anak Negeri. Yayasan Sabah menawarkan biasiswa Yayasan Sabah. Disamping itu saya juga ditawarkan Biasiswa Borneo.

Saya memilih biasiswa Anak Negeri atau biasiswa kerajaan negeri kerana terdapat jaminan  pekerjaan. Sewaktu dalam tahun akhir pengajian, saya  telah mendapat lima atau enam tawaran pekerjaan dalam sector awam termasuk daripada GLC kerajaan negeri. Disamping itu saya juga mendapat tawaran daripada Bank Bumiputera, Malayan Banking dan syarikat-syarikat kewangan lain yang beroperasi di Sabah.

Saya masih ingat perbualan dengan kawan-kawan dari negeri-negeri di Semenanjung, “Dapat biasiswa tak?” mereka akan jawap biasiswa F&M. “Apa itu F&M?” Father and Mother atau papa dan mama. Tidak semua dapat biasiswa dari negeri masing-masing seperti penuntut dari Sabah. Jika dapatpun jumlahnya hanya RM1,800 setahun berbanding biasiswa kerajaan Sabah sebanyak RM2,500 yang  kemudian ditambah kepada RM3,500 semasa saya mengetuai pelajar Sabah menuntut kadar biasiswa dinaikkan semasa ditahun akhir di Universiti Malaya.

Kebanyakan penuntut dari Semenanjung memohon biasiswa JPA. Jumlahnya tidak banyak tetapi menjamin pekerjaan selepas tamat pengajian. Pada ketika itu, setahu saya tiada  penuntut dari Sabah mendapat biasiswa dari JPA. Beberapa tahun kemudian saya baru tahu, kenapa  pegawai-pegawai dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan termasuk pegawai PTD dari Sabah begitu sedikit berbanding dengan dari negeri-negeri lain.

Statistik terkini mengikut lapuran Bernama, 60,059 lantikan dibuat SPA melibatkan 38,659 perlantikan tetap dan selebihnya kontrak. Ia melibatkan 45,392 calon lantikan Melayu, 2,901 Cina dan 2,018 India dan selebihnya bumiputera Sabah dan Sarawak. SPA menerima 1.2 juta permohonan untuk menyertai perkhidmatan awam pada tahun lepas tetapi hanya 9,748 orang sahaja yang dilantik dari Sabah dan Sarawak.

Kepimpinan Sabah terdahulu barangkali telah menghantar mesej atau isyarat yang salah kepada pemimpin Pusat. Pemimpin Pusat dan kebanyakan orang di Semenanjung berpendapat  Sabah sebuah negeri yang kaya dan rakyatnya juga kaya raya. Pemimpin-pemimpin politik dari Sabah suka memperagakan  kekayaan dengan menunjukkan kemurahan hati mereka jika berada di Kuala Lumpur.

Persepsi  orang  Sabah semua kaya-kaya. Kaya dengan balak, banyak tanah dan ladang malah lebih  negeri  Sabah lebih kaya dari satu Malaya. Dulu ramai yang sambut bila pemimpin Sabah datang ke Kuala Lumpur. Sudah pasti dapat habuan duit yang banyak.

Jika ada orang Semenanjung kata dia ada perniagaan di Sabah, atau jadi rakan kongsi orang Sabah, atau ada sahabat orang politik dari Sabah,  secara otomatik terpancul ayat “wow!” mesti kamu jutawan, berniaga  balak, ladang kelapa sawit atau minyak.  Inilah persepsi rakyat dari Semenanjung terhadap Sabah. Malah hingga hari ini persepsi itu masih kekal. Pemimpin Sabah akan sambut tetamu dan menjamu dengan makan seafood. Hakikatnya, kekayaan negeri Sabah tinggal nostalgia.

Hakikatnya negeri Sabah memberi sumbangan yang banyak kepada Malaysia. Sumbangan itu bukan sahaja dalam bentuk hasil bumi seperti minyak petroleum dan gas asli, juga sumbangan dalam bidang-bidang kesenian dan budaya. Sekitar 80an, industry filem Melayu sudah dianggap mati berkubur tanpa nesan terutama selepas P.Ramlee meninggal dunia pada 1973.

Tiba-tiba muncul Sabah Filem dan Madin Borhan atau M.Borhan dengan filem Si Comot keluaran Sabah Filem. Siapa yang selamatkan industry perfileman Melayu? Orang Sabah yang selamatkan filem Melayu daripada kepupusan. Sabah Filem melabur wang yang banyak membeli peralatan yang canggih untuk menghasilkan filem-filem bermutu sehingga menimbulkan semula minat rakyat kepada filem Melayu. Dalam bidang seni suara, Sabah dan Sarawak juga melahrikan ramai artis yang yang hebat seperti Stacy,  Hafiz, Dayang Nurfaezah dan ramai lagi.

Hakikatnya semua itu tinggal kenangan dan nostalgia. Hari ini pelajar Sabah yang Berjaya masuk IPTA akan balik Sabah dan datang semula ke KL sebagai pelayan di KFC, atau McD.

Loading...
Musli Oli

Musli Oli

Penulis Politik Bebas. Saya Menulis Untuk Rakyat BUKAN Untuk Mana-mana Parti Politik. "Dilema Sabah" Buku Tulisan Untuk Memberi Kesedaran Kepada Semua.

scroll to top