Polo oh polo

polo-oh-polo.jpg

"Saya akan hantar dua anakanda saya dan dua orang penjaga kuda ataupun saya sekali kerana saya melihat diri saya masih handal lagi. Kalau pasukan saya kalah, saya akan akui bahawa pasukan Sukan SEA itu lagi baik dan semuanya handal-handal belaka," Kenyataan Sultan Johor dipetik dari MStar Online mencabar pasukan KJ

OLEH : Mohd Joh Haji Wid

Dalam keghairahan rakyat Malaysia bersorak gembira meraih kemenangan demi kemenangan wira dan wirawati negara memenangi pingat emas, perak dan gangsa, tiba-tiba polo jadi topik utama. Tenggelam kehangatan ‘Speedy Jantan’ mengungguli 100 meter lelaki dan keriuhan bolasepak lelaki negara menjadi juara kumpulan dengan menang bergaya 3 perlawanan berturut-turut.

Sebelum ini kita tidak peduli pun tentang sukan polo, sukan yang hanya dimainkan oleh keluarga DiRaja, golongan kenamaan dan korporat. Sekalipun sukan tersebut pernah menyumbang pingat emas untuk negara pada Sukan Sea Korat Thailand pada 2007 dan di Singapore pada 1993, namun sukan ini masih gagal menarik perhatian rakyat Malaysia.

Persoalannya kenapa pada temasya KL2017 tiba-tiba sukan ini menjadi popular? Jawapannya mudah, kerana ‘daddy’ aka KJ. Selaku menteri yang bertanggungjawab memastikan temasya tahun ini berjalan lancar dan meriah, beliau juga turut memastikan pasukan negara menjadi juara serta memastikan nilai komersil temasya sukan Sea pada tahun ini meningkat bagi memenuhi perjanjian bersama penaja-penaja yang terlibat.

Secara peribadi saya mengenali beliau. Saya menyelami semangat beliau ingin menjayakan temasya Sukan Sea 2017 adalah temasya paling meriah dan akan dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia ketika menyertai rombongan menyalakan obor di puncak Kinabalu pada 4 dan 5 Jun 2017 lalu. Mendaki ketika berpuasa Ramadan, tambahan ketika tersebut beliau mengalami kecederaan lutut kiri, tanpa layanan VIP, pendakian tersebut bukan pendakian biasa. Cabarannya memang hebat. Namun KJ begitu fokus dan bersemangat. Sepanjang tempoh pendakian dia kurang bercerita, saya faham banyak perkara yang sedang difikirkan. Timbul pertanyaan, sebagai menteri, kenapa harus dia yang mendaki dan membawa obor tersebut ke puncak? Kenapa tidak pilih saja atlet lain yang lebih sesuai sekaligus sebagai latihan kecergasan? Atau atlet lain yang bukan beragama Islam agar tidak risau tentang puasa? Saya temui jawapannya sebaik saja obor Sukan Sea KL2017 dinyalakan di puncak pada jam 5.20 pagi pada 5 Jun 2017.

Dalam keadaan angin kencang, apabila obor yang telah dinyalakan padam, KJ berkata(boleh ditonton diposting live facebook beliau) “walaupun api obor ini terpadam, namun semangat juang atlet dan seluruh rakyat Malaysia tidak akan terpadam untuk memastikan kejayaan Malaysia!”. Sesuai dengan slogan “Bangkit Bersama” ungkapan ‘semangat juang’ menjelaskan kepada saya betapa tingginya semangat beliau demi Malaysia.

Mohd Joh Haji Wid (Kanan) bersama Mneteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika nyalaan obor Sukan Sea di Gunung Kinabalu

Kembali pada topik polo. Adakah kerana kehadiran putera raja kacak, Pangiran Muda Abdul Mateen Bolkiah menyebabkan rakyat Malaysia buka mata tentang sukan ini? Atau kerana kemenangan berturut- turut pasukan polo negara yang dianggotai sendiri oleh KJ menewaskan pasukan Brunei dan Singapura? Tidak dinafikan populariti personaliti KJ dan Pangiran Mateen memberi impak kepada kehadiran sukan tersebut di temasya kali ini. Kebetulan perlawanan pertama menyaksikan pertembungan dua personaliti kacak tersebut hingga menjadi tular di media sosial dan mengundang kegilaan gadis-gadis, tidak kurang menarik minat rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan. Ada pelajar yang sanggup ponteng kuliah untuk menyaksikan perlawanan tersebut, tidak kurang juga yang hadir semata-mata mahu bertemu Pangiran Muda Mateen.

Untuk mengejar glamour, KJ sudah glamour. Dia tidak perlu menjadi pemain polo untuk glamour. Dia juga tidak perlu letak jawatan menteri untuk menjadi pemain polo. Polo adalah sukan yang boleh dimainkan oleh sesiapa sahaja yang mampu. KJ diperlukan dalam keduanya selagi dia mampu menggalas tanggungjawab tersebut. Bukan persoalan KJ atau siapa yang main untuk negara, tapi adakah pingat emas kita dapat pertahankan untuk kali ketiga pada kali ini? Jika KJ dan pasukannya mampu juara, persoalan siapa yang bermain tidak perlu dipertikaikan.

Bagi KJ, sebelum terpilih membarisi pasukan negara, dia bukan sekadar gigih berlatih sebagai atlet, tapi beliau juga telah berusaha dan berjuang membawa sukan tersebut agar disenaraikan di KL2017 oleh Majlis Olimpik Malaysia(MOM). Berdasarkan prospek emas yang boleh dimenangi untuk negara, sudah tentu keputusan ini sangat tepat. Walaupun acara sukan ini masih belum berakhir, berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh pasukan negara, nampaknya kita bakal mara ke perlawanan akhir sekaligus meraih emas.

Dalam keriuhan tersebut, muncul pula reaksi Tengku Mahkota Johor dan terbaru dari Sultan Johor sendiri mencabar KJ dan pasukannya menentang pasukan polo DiRaja Johor bagi menentukan siapa ‘juara sebenar’.

Kenyataan tersebut menambah populariti sukan polo di Malaysia. Mungkin inilah kemuncak populariti sukan tersebut di nagara ini walaupun telah mula dimainkan di Malaya sejak 1884. Dari dua reaksi inilah juga saya mula google tentang sejarah dan peraturan permainan ini. Nampaknya ada positifnya konflik persepsi penyertaan KJ membarisi pasukan negara di temasya Sea Games 2017.

Namun bagi saya pasukan Polo DiRaja Johor bukanlah tandingan bagi pasukan Sea Games mahupun Kelab Jogo Polo yang dianggotai KJ. Sekalipun pasukan KJ telah memenangi Malaysian Open Polo Tournament 2017 pada 16 Julai 2017 lalu bersama team Jogo Polo, yang merupakan salah satu medan pemilihan pemain Sea Games atau sekalipun skuad polo Sea Games dikalungkan emas, namun kedua-dua pertandingan tersebut cuma menetapkan handicap range 5-8 saja. Untuk rekod, Malaysian Open dan Sea Games meletakkan handicap yang sama untuk peserta yang bertanding. Berbeza dengan Royal Pahang Classic, RSPC Pre-High Goal dan RSPC Open yang menetapkan handicap 12-14 bagi setiap peserta. Mungkin ini adalah kelas yang sesuai untuk Sultan Johor atau TMJ yang lebih berpengalaman dan pernah bermain di peringkat piala dunia. Senarai pertandingan ini adalah antara acara yang tersenarai dalam kalendar pertandingan Royal Malaysian Polo Assciation(RMPA) 2017. Dari senarai pertandingan tersebut, jelas bahawa KJ bukan tandingan sebenar Sultan Johor dan pasukannya.

Mungkin juga kenyataan TMJ dan Sultan Johor disebabkan oleh terdapat pemain-pemain lain yang lebih hebat tidak tersenarai membarisi skuad negara seperti yang disebutkan oleh TMJ dalam kenyataannya. Mungkin itulah nama-nama pemain terhebat negara dari rekod yang ada dari sudut penilaian TMJ. Akan tetapi, mungkin bagi jawatankuasa pemilih di dalam RMPA menilai dari segi penglibatan semasa berdasarkan pertandingan ujian dan proses pemilihan serta prestasi di dalam kem latihan seperti mana yang dinyatakan oleh pengurus pasukan Mohamad Zakeri Ibrahim bahawa semua pemain telah melalui proses pemilihan yang ketat. KJ dan senarai lain pasti telah lulus ujian-unian tersebut sesuai dengan handicap yang dibenarkan dalam kelas pertandingan.

Walaupun begitu, pada pendapat saya, tidak salah bagi KJ menerima pelawaan tersebut bagi mempromosikan sukan polo di Malaysia. Ibarat pasukan bola sepak Liga Perdana menentang pasukan Liga Super dalam pertandingan Piala FA atau Piala Malaysia, tidak mustahil pasukan liga bawah akan menang. Namun jika keputusan sebaliknya, rasanya inilah masa yang sesuai Kelab Polo DiRaja Johor melakukan sesuatu untuk sukan polo diminati seluruh lapisan rakyat Malaysia sepertimana yang telah dilakukan oleh TMJ merevolusikan sukan bola sepak Johor dan mungkin bola sepak Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, saya juga berharap Kelab Polo DiRaja Johor yang disertai TMJ yang menyertai Piala Dunia mendapat kejayaan.

Akhir sekali, selain dari negeri Pahang, Selangor, Johor, Perak dan Pulau Pinang, Sabah juga tersenarai sebagai negeri yang mempunyai Kelab Polo yang aktif. Yang penting perkembangan ini akan memberi sinar terhadap pembangunan sukan tersebut di Malaysia dan tidak kurang juga di negeri Sabah agar suatu hari nanti sukan ini akan tersenarai di temasya Sukan Malaysia SUKMA dan Sabah mampu menghantar pasukan bertanding. Tidak mustahil akan muncul rakyat biasa, mungkin anak kampung dari Sabah bakal beraksi mewakili negara untuk pasukan polo negara di temasya sukan Sea akan datang. Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun.

Loading...
scroll to top