12 Tikaman Kerana Pinangan Ditolak

kes-bunuh-sembulan.jpg

KOTA KINABALU: Tidak berpuas hati kerana lamaran ditolak dipercayai punca seorang lelaki menikam bapa saudaranya sehingga mati di depan sebuah kedai runcit di Kampung Sembulan Lama, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, suspek lelaki berusia 30 tahun menikam bapa saudaranya, Abdul Razi Bahadum, 56, dengan 12 tikaman menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Sumber memberitahu, suspek dikatakan meminang anak perempuan mangsa berusia 24 tahun pada pertengahan tahun lalu dan disebabkan dia tidak mempunyai kerja tetap, keluarga mangsa menolak lamarannya itu.

“Kira-kira jam 1 tengah hari semalam, suspek pergi ke tempat kerja anak mangsa di Kompleks Karamunsing dan memaksa mengikutnya untuk membincangkan hal pertunangan, namun gadis terbabit tidak melayan permintaan suspek kerana risau dengan keselamatannya,” katanya.

Suspek kemudian dikatakan berjumpa bapa saudaranya itu di depan sebuah kedai runcit di kampung itu petang semalam. Suspek dikatakan menumbuk mangsa sebelum menikamnya beberapa kali dengan pisau.

“Mangsa kemudian rebah sebelum pemilik kedai runcit yang menyaksikan kejadian menghubungi polis,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra (Kanan) menyoal suspek – Foto facebook Polis Kota Kinabalu

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, menerusi kenyataan di Facebook Polis Kota Kinabalu, berkata suspek menyerah diri di Balai Polis Karamunsing bersama sebilah pisau yang digunakan untuk menikam mangsa.

“Pihak polis percaya punca kejadian adalah kerana dendam namun masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti motif kejadian dan tidak menolak kemungkinan suspek mengalami gangguan emosi.

“Semakan mendapati suspek pernah ditangkap dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta dadah Berbahaya 1952 kerana mengambil dadah dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh,” katanya.

Malam tadi, NSTP melaporkan seorang lelaki mati ditikam oleh anak saudaranya sendiri ketika dia keluar untuk melihat bot miliknya berdekatan rumah di Kampung Sembulan Lama.

Gambar : Polis Kota Kinabalu

Loading...
scroll to top