4 lagi ADUN BN bertemu Mohd Shafie ?

KOTA KINABALU: Kemelut pentadbiran di negeri ini bagaikan tiada penghujungnya apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) Sabah termasuk dua ‘Menteri Kabinet Sabah’ hadir di kediaman Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini.

Dua ‘menteri’ berkenaan adalah Datuk Masiung Banah yang menjawat Menteri Belia dan Sukan Sabah dan Datuk Bolkiah Ismail (Menteri Pembangunan Perindustrian) hadir bersama dua lagi ADUN BN lain iaitu Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) dan Datuk James Ratib (Sugut) kira-kira jam 3.15 petang tadi.

Masiung dan Bolkiah dilantik sebagai menteri penuh dalam pengumuman barisan kabinet selepas Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei lalu.

Kehadiran keempat-empat ahli politik itu menguatkan spekulasi bahawa mereka akan menyokong kepimpinan Mohd Shafie.

Masih belum dapat disahkan sama ada keempat-empat ADUN BN ini akan meninggalkan BN dan Musa.

Setakat ini, Musa masih lagi ‘membisu’ dan menganggap beliau masih lagi Ketua Menteri Sabah yang sah.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Musa, Afeiza Khan dalam pesanan ringkas aplikasi Whatsapp tiada sebarang sidang akhbar akan dibuat Musa setakat ini.

Loading...

Leave a Reply

arrow