6 ketua Pemuda UMNO bahagian Sabah keluar parti

6-ketua-Pemuda-UMNO-bahagian-Sabah-keluar-parti.jpg

KOTA KINABALU: Enam ketua Pemuda UMNO bahagian di Sabah iaitu Tenom, Tawau, Keningau, Pensiangan, Sepanggar dan Silam mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Bekas Ketua Pemuda UMNO Tenom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Jamawi Jaafar, yang mengetuai lima pemimpin sayap pergerakan itu keluar parti berkata, keputusan menyertai WARISAN adalah untuk kestabilan politik dan memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada rakyat.

“Keputusan meninggalkan UMNO adalah manifestasi yang kita pertimbangkan untuk kepentingan rakyat.

“Ia bukan keputusan tergesa-gesa tetapi untuk kestabilan politik,” katanya yang juga bekas Ketua Penerangan Pemuda UMNO dalam sidang media khas di sini, hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah bekas Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim; Nik Nadzri Nik Nawawi (Keningau), Halim Gulam Sidek (Silam), Ramlan Awal (Sepanggar) dan Jehan Osman Ongkomog (Pensiangan).

Mereka turut menyatakan sokongan kepada Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah.

Jamawi adalah antara enam ADUN Barisan Nasional (BN) yang meninggalkan parti itu sehingga membolehkan WARISAN memiliki 35 kerusi daripada 60 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, sekali gus boleh membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Loading...
scroll to top