Adun Lahad Datu Direman 4 hari

ADUN Lahad Datu, Datuk Yusof Apdal, direman empat hari di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini. – Foto Mohd Adam Arinin.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal, yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan penyelewengan dana awam di Sabah malam tadi, direman empat hari hingga Sabtu ini.

Perintah dikeluarkan Majistret Stephanie Sherron Abbie, susulan permohonan SPRM mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan kes.

Mohd Yusof, 57, yang juga adik kepada Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini pada jam 10.30 pagi tadi melalui laluan belakang, sebelum dibawa masuk ke Mahkamah Majistret.

Dia dibawa meninggalkan mahkamah pada jam 11.40 pagi.

Mohd Yusof diwakili peguam Edward Paul dan Peter Lee manakala SPRM diwakili Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faliq Basiruddin dan Timbalan Pendakwa Raya, Rozanna Abd Hadi serta Rustam Anip.

Mohd Yusop ditahan kira-kira jam 10 malam tadi di pejabat SPRM Sabah, di sini.

Malam tadi, dia hadir ke pejabat SPRM bagi membantu siasatan SPRM berhubung penyelewengan RM1.5 bilion dana awam untuk pembangunan luar bandar menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah antara 2009 hingga 2015.

Penahanan itu menjadikan sembilan individu ditahan SPRM berhubung kes itu setakat ini.

Antara yang ditahan Rabu minggu lalu ialah seorang lagi adik Mohd Shafie, Hamid Apdal dan masih menjalani lanjutan tahanan reman sehingga Jumaat ini.

Menantu Hamid, yang juga seorang ahli perniagaan berumur 33 tahun direman lima hari sejak Ahad lalu.

Hamid dan menantunya kini menjalani tempoh reman di hospital swasta atas masalah kesihatan.

Sebelum ini, Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony; dan Ketua Wira parti itu, Datuk Mohd Azis Jamman; Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar; Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim dan ahli perniagaan berumur 52 tahun ditahan SPRM di Sabah, manakala seorang penjawat awam ditahan di Putrajaya.

Mereka bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Loading...
scroll to top