ADUN WARISAN diijemput ke Majlis Angkat Sumpah

KOTA KINABALU: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Warisan Sabah (WARISAN) sudah menerima surat jemputan untuk menghadiri upacara angkat sumpah Ketua Menteri Sabah di Istana Negeri, malam ini.

Chong Chen Bin

Perkara itu disahkan Naib Ketua Wira WARISAN yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor, Chong Chen Bin yang memaklumkan mereka menerima surat jemputan itu daripada pegawai Istana Negeri, sebentar tadi.

“Pihak istana telah beri surat jemputan kepada kami (WARISAN) dan kami akan berada di Istana Negeri pada kira-kira jam 8 malam ini,” katanya ketika ditemui di kediaman Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Taman Golfview, di sini.

Terdahulu kira-kira jam 2 petang tadi, dua pegawai Istana Negeri memasuki pekarangan rumah Mohd Shafie dan bertemu ADUN Senallang itu sebelum beredar setengah jam kemudian.

Semalam, Mohd Shafie, mengesahkan parti itu bersama PKR dan DAP memiliki 35 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus boleh membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

Ia susulan enam ADUN Barisan Nasional (BN) menyertai WARISAN dan menandatangani deklarasi menyokong Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri.

Bagaimanapun, Tan Sri Musa Aman, sudah pun mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri kelmarin. – Berita Harian Online

Loading...

Leave a Reply

arrow