Angin Kencang 60KM Sejam landa Sabah hingga Sabtu

POKOK TUMBANG menyebabkan jalan sesak di Tanjung Lipat hari ini

KOTA KINABALU 18 Okt. – Ribut Khanun yang melanda Filipina turut menunjukkan kekuatannya di pantai barat Sabah apabila ribut petir berserta angin kencang berkelajuan lebih 50 kilometer sejam melanda beberapa kawasan sejak tengah hari ini.

Angin kencang bersama hujan lebat itu menyebabkan banyak kejadian kereta serta rumah rosak akibat dihempap pokok tumbang dilaporkan berlaku di sekitar bandaraya ini.

Beberapa kawasan di Kota Belud pula dinaiki air menyebabkan lebih 100 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara yang dibuka sejak petang.

Berikutan itu, Jabatan Meteorologi hari ini mengeluarkan amaran ribut petir menyeluruh yang dijangka berlarutan sehingga Sabtu depan kesan daripada fenomena Khanun.

“Angin kencang barat daya dengan kelajuan 50 ke 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Sulu sehingga Sabtu, 21 Oktober 2017.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan di laman webnya hari ini.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu Maxwell Panchai ketika dihubungi berkata, setakat pukul 4 petang ini, pihaknya menerima sebanyak 50 panggilan berhubung kejadian pokok tumbang di sekitar daerah ini.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan kita masih menjalankan siasatan terhadap kerosakan kenderaan serta harta benda yang terbabit ketika insiden angin kencang dan ribut itu, “katanya.

Dalam pada itu, APM dalam kenyataannya berkata, di Kota Belud, sebanyak 108 mangsa daripada 39 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Tun Said selepas rumah mereka ditenggelami air yang naik secara mendadak.

“Kampung-kampung yang terjejas teruk ialah Donggoi, Marajah, Gunding, Sadok-Sadok, Sembirai, Lingkodon dan Linau,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...
scroll to top