Bas ekspres hilang kawalan dilanggar lori kargo

Bas-ekspres-hilang-kawalan-dilanggar-lori-kargo.jpg

KEADAAN bas ekspres yang terbabas di tepi jalan.

LAHAD DATU: Sebuah bas ekspres dengan muatan lapan penumpang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori kargo di Kilometer 9 Jalan Lahad Datu Sandakan, di sini, pada awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Hamzah Ahmad berkata kemalangan itu berlaku jam 2.15 pagi apabila pemandu bas ekspres dari arah Tawau menuju ke Kota Kinabalu hilang kawalan dalam keadaan cuaca yang hujan.

“Semasa berada di satu jalan lurus di lokasi kejadian pemandu bas ekspres telah hilang kawalan hingga menyebabkan bahagian belakang memasuki lorong bertentangan.

“Ketika itu, sebuah lori kargo 10 tan dari arah Sandakan tidak sempat mengelak hingga terlanggar tepi sebelah kanan bas ekspres itu,” katanya.

Akibat pelanggaran itu, bas ekspres terbabas dengan bahagian belakang masuk longkang di tepi kanan jalan sementara lori turut masuk longkang di sebelah kiri arah jalan ke Lahad Datu.

Dilaporkan semua penumpang dan pemandu kenderaan selamat manakala kenderaan mengalami kerosakan.

Loading...
scroll to top