CATUAN BEKALAN ELEKTRIK SELEPAS MENARA PENGHANTARAN 132kV TUMBANG

SMS NEWS PORTALSESB mengesahkan salah satu menara penghantaran 132kV Segaliud-Dam Road tumbang pada jam 3.40 petang tadi. Kejadian telah menyebabkan kawasan Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna terpisah daripada sistem grid penghantaran utama SESB. Ini menyebabkan gangguan bekalan secara terkawal berjumlah 40MW dengan adanya sistem perlindungan yang bertindak menstabilkan sistem grid Sabah.

Bekalan telah dapat dipulihkan secara berperingkat pada jam 4.08 petang pada hari yang sama.

Kawasan-kawasan Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Tawau kini bergantung sepenuhnya kepada kapasiti penjanaan daripada stesen janakuasa di daerah Tawau.

Kapasiti penjanaan sediada hanya mampu menjana sehingga 140MW manakala penggunaan bekalan elektrik pula telah mencecah 160MW semasa beban puncak iaitu sekitar jam 7 hingga 10 malam.

Oleh itu, sebahagian kecil kawasan di daerah Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Tawau terpaksa dicatu bekalan elektrik pada waktu beban puncak tersebut.

Catuan pada waktu beban puncak ini akan dikuatkuasakan secara bergilir-gilir sehinggalah menara sementara (ERS atau Emergency Restoration System) siap didirikan dijangka pada awal minggu hadapan.

Punca kejadian masih dalam siasatan.

scroll to top